Isnin, 9 Oktober 2023

APA KHABARMU SAHABAT?

 AHAD yang lalu, bersamaan 1 Oktober... sempat kami berkunjung ke hospital. Perkhabaran duka tentang beberapa orang kenalan dan jiran menguatkan lagi hasrat untuk bertemu mereka. Sebenarnya sudah lama sangat tidak ke hospital. Sebaik-baik sampai di perkarangan hospital, tiada tempat kosong untuk memarkir kereta. Mata melilau memerhati, namun tiada rezeki. Aku melangkah turun apabila suami memberhentikan kereta di sisi laluan pejalan kaki. 

    Langkahan diteruskan setelah suami berlalu pergi. Entah di mana agaknya kereta merah itu bakal ditempatkan. Aku terus berlalu melewati ruang sedia ada. Kelihatan ramai pengunjung yang turut sama berpusu-pusu mengejar waktu melawat. Aku memberhentikan langkah tatkala hampir tiba di pintu yang dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan.

    Segera kulihat jam di tangan sementara menanti kelibat suami. Keadaan sedikit sesak, tambahan pula hari minggu. Barangkali ramai yang menanti peluang keemasan untuk berkunjung ziarah pesakit. Aku bersaing dengan suami menuju wad 4.  Orang pertama yang kami jejaki ialah jiran kami yang dikatakan telah beberapa kali jatuh ketika berada di pasar dan di rumahnya. Suami yang terjenguk-jenguk memerhati dan mencari-cari, sedikit resah. Akhirnya aku yang berjaya mengesan keberadaannya di katil sebelah tempat suami berdiri. Kelihatan beliau sedang tidur.

    Tanpa menunggu lama, kami menuju wad 3. Keadaan masih sama. Banyak terdapat katil tambahan di situ. Kami sama-sama mencuri pandang kelibat jiran belakang rumah yang dimaklumkan ditempatkan di wad berkenaan. Sedikit sukar mencari di cecelah orang ramai. Akhirnya berjaya juga ditemui. Kelihatan pernafasannya agak lemah, perlu dibantu dengan oksigen. Riuh isterinya bercerita, menyatakan duduk perkara sebenar. Perbualannya sedikit panjang. Begitu tabahnya seorang isteri menggalas tugas menemani dalam usia lewat 60-an.

    Kami memohon diri untuk bergerak pula ke wad 9. Langkah kaki dipercepatkan walausedikit payah. Kami terpaksa menaiki tangga untuk ke wad berkenaan. Kelihatan masih ramai pelawat walaupun jam menunjukkan hampir jam 2.00 petang. Aku mengamati satu per satu katil dan pesakit yang ada. Dalam fikiran tidak ingat langsung nombor katil yang telah kawan-kawan nyatakan. Aku sekadar memerhati kalau-kalau ada kelibat rakan yang dikenali. Akhirnya mata tertancap pada wajahnya. 

    Salam yang kuucapkan bersambut. Kelihatan suaminya dan ahli keluarga lain ada sama di sisinya. Aku segera mendapatkannya setelah memperkenalkan diri. Tiada sepatah ungkapan yang meluncur dari ulas bibirnya. Namun dari renungan matanya aku pasti dia masih mengenaliku. Kukucup dahinya. Matanya terpejam. Butir jernih mutiara membasahi pelupuk matanya. Hiba hatiku. Aku menanggalkan kacamata dan pelitup muka sambil mengesat air mata. 

    Aku mencuri dengar apa yang diterangkan oleh suaminya kepada suamiku. Selang beberapa ketika kedengaran bunyi wisel bertalu-talu dari pengawal keselamatan di tingkat bawah. Waktu melawat kian sampai ke penghujung. Sekali lagi aku mendekatinya. Sebak-baik aku menunduk merapatinya, aku dirangkulnya sambil membisikkan sesuatu. Walau kurang jelas akibat suara yang menghilang tanpa diketahui punca dan asbabnya, aku dapat mengesan apa yang ingin dijelaskan. Kami berpelukan seketika. Sebak menguasai suasana. Kuat pelukannya dapat kurasakan.

    Ibunya membantu merelaikan rangkulannya di bahuku. Seakan-akan dia tidak mahu melepaskannya. Sedih hatiku untuk meninggalkannya. Dalam keadaan sedemikian, sokongan keluarga dan kawan-kawan amat diperlukan. Sampel darahnya telah diterbangkan ke Australia. Perubahan drastik yang berlaku ke atas dirinya menjadi teka-teka buat keluarganya dan kami, rakan-rakan yang mengenali. Bertabahlah Kak Nor. Kami doakan yang terbaik buat akak. Mudah-mudahan Allah memberi kesembuhan dan kekuatan buat akak sekeluarga. 

    Berita terkini yang kudengar... beliau ditempatkan di HUKM. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh. Berilah kesembuhan buat sahabat kami ini, yang pernah sama-sama bertugas di ACS suatu ketika dahulu. Walaupun bertahun kami terpisah, dan tidak bertemu di daerah yang sama.... pernah dua tiga kali kami dipertemukan di R&R dan di program sekitar Kuala Lumpur. Betapa Allah itu Maha Mengatur. Dan kali terakhir kami bertemu ialah semasa menziarahi rakan guru yang ditimpa musibah dua tahun yang lalu.

Kenangan bersama Kak Nor

    Salam dan doa kami titipkan buat Kak Nor dan keluarga. Mudah-mudahan Allah melindungi dan memberi kesembuhan buat Kak Nor. Hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan. 

Selasa, 3 Oktober 2023

Perkongsian yang Menarik!!!


(kredit buat pemilik video ini)

Usai menyediakan makan tengah hari, aku melayari internet.  Awal pula aku ke dapur hari ini. Jam 3.30 petang aku harus menghadiri mesyuarat. Jam menunjukkan 12.00 tengah hari. Semuanya telah selesai. Alhamdulillah.

Rezeki pula bertemu video ini.  Terima kasih kepada pemiliknya. Menarik sekali. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah SWT.  Meneliti kesungguhan insan ini dan menghadam kisahnya, terasa terpukul pula. Ramai yang dilahirkan dalam keluarga yang asalnya memang Islam, dipendekkan cerita... Islam baka namanya. Namun tidak ada kesungguhan untuk mengamalkan cara hidup Islam. Itulah yang merisaukan kita.

Mudah-mudahan lebih ramai lagi yang kembali kepada fitrah. Bagi yang memang dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, amalkanlah cara hidup Islam.  Jangan hanya Islam pada nama sahaja. Peraturan-peraturan dan hukum-hakam wajib kita sama-sama ikuti. Bersyukurlah kita dilahirkan Islam. Terima kasih kepada ibu ayah, datuk nenek serta moyang kita yang berpegang teguh dengan hukum dan peraturan tersebut.  Bersyukurlah kita yang menjadikan Al Quran dan sunnah sebagai panduan dalam kehidupan.

Kita adalah khalifah di muka bumi ini. Kewajipan kita ialah berdakwah, perlu menyampaikan Islam kepada orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk berceramah seperti asatizah yang ada di luar sana, kita boleh tunjukkan cara hidup Islam kita melalui kelakuan ataupun akhlak kita. Perbuatan baik yang kita zahirkan mungkin menjadi asbab orang mendekati agama yang kita anuti. Siapa sangka, kan? 

Yang penting usaha, yang memberi hidayah itu ialah Allah. Doakan yang terbaik buat sahabat kita di luar sana. 


Ahad, 17 September 2023

SEMARAK MERDEKA (10.09.2023 = 24 SAFAR 1445H)

 PENGALAMAN membantu menguruskan program mengingatkan semula akan tugas di alam pekerjaan yang lalu. Banyak yang perlu diuruskan dalam erti kata bekerja dalam kumpulan. Ada yang nampak kesungguhan, juga ada yang sebaliknya. Begitulah asam garam kehidupan. Hidup saling lengkap melengkapi. Susah payah sama dirasai walaupun terkadang timbul rasa tidak puas hati.

    Sentiasa berfikiran positif. Itu yang betul. Bagai 'nak kenduri besar lagaknya. Selagi hari berkenaan belum berlangsung, ada sahaja kerja-kerja yang perlu dibereskan. Hati digayut bimbang. Risau bagaimana sambutan dan penglibatan masyarakat setempat. Sebagai membantu melancarkan majlis, amanah yang diberikan dipandang serius. Khidmat terbaik perlu diberi mengikut kemampuan.

     Belajar sesuatu yang mungkin baru bagi kita. Permudahkan urusan orang lain dan rakan kerja, mudah-mudahan kejayaannya bakal dinikmati bersama. Pengalaman masa lalu sememangnya amat membantu. Alhamdulillah. Kerjasama yang diberikan oleh insan-insan yang ditemui, amat membanggakan. Segalanya Allah permudahkan. Kesungguhan mereka wajar dihargai.

    Kepada guru-guru serta anak-anak yang menyertai program kami, diucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Persembahan yang mantap dan menarik perhatian pengunjung pada hari berkenaan. Kepada yang menyertai pertandingan sama ada mewarna, gubahan buah-buahan, gerai tercantik dan futsal, kami ucapkan tahniah atas kejayaan. Tahniah juga kepada yang tidak berjaya, jika ada rezeki boleh mencuba pada masa akan datang.  Yang penting ialah keberanian dalam menyahut cabaran pertandingan.

    Keletah anak-anak tadika KEMAS pula begitu mencuit hati. Comel belaka dengan pakaian tradisional rakyat Malaysia. Kepada kaunselor Pn Hjh Fadzilah yang merupakan ahli majlis MPM Zon 9 Lekir, diucapkan tahniah atas kejayaan program ini. Terima kasih tuan OBJ yang merasmikan program ini. Tidak lupa juga kepada hakim atau juri yang dilantik bagi semua pertandingan yang dijalankan.