Jika seringkali kita alpa
Hanyut dalam dodoian syahdu nan meraja
Asyik dalam lamunan menggila
Hingga berubah harga sebuah cinta
Semalam yang resah
Jangan lagi diulit gelisah
Luka yang parah
Bersalut nanah dan darah
Kian merekah dan membarah
Usah dibiar punah dalam lesu dan pasrah
Kerana esok masih ada
Dalam izin-Nya Maha Perkasa
Lantaran pintu taubat sedia terbuka
Rebutlah sementara usia masih ada
Melangkahlah walau payah
Kita ada Allah
Rahmat kasih-Nya terlalu mewah
Kita ada Rasulullah
Punya akhlak yang indah
Pendirian tidak pernah goyah
Meniti laluan penuh tabah
Apa ditunggu lagi?????
Jom sama-sama kita berhijrah
ida a.z.
hijrah 1436
Sabtu, 25 Oktober 2014
Isnin, 13 Oktober 2014
MPSI TETAP DI INGATAN
Sudah lama tidak berkunjung.
Bersama ASASMU aku menulis,
Kisah dikongsi tak habis-habis.
Taman Astakona tetap di ingatan,
Adakah kini masih kelihatan.
Panggung lama kesan tinggalan,
Terasa ada sedikit menyeramkan.
Tersergam dewan Suluh Budiman,
Memandang megah penuh senyuman.
Asrama lama pelbagai nama,
Kekadang yang mengusik pun ada.
Melewati dewan Rahman Talib,
Mata memandang tidak berkedip.
Sama menikmati nasi kawah,
Mat Teropong kekadang menjengah.
Sesekali masalah air meraja,
Seksa terasa menggila-gila.
Pak Aris dalam kenangan,
Insan tua banyak pengalaman.
Pasar raya Angsoka ada di pekan,
Kedai Babu tidak ketinggalan.
Angin Bernam dihirup segar,
MPSI, di hati berbunga mekar.
Naik kereta api ke Batu Gajah,
Tiga tahun dalam sejarah.
Kini UPSI bertukar namanya,
Namun kasihku tetap yang lama.
Jumaat, 10 Oktober 2014
PERTEMUAN DI PEKAN SABTU
Sabtu lepas aku dan suami ke Pekan Sabtu di Batu Sepuluh. Hajat utamaku ialah membeli ikan untuk makanan kucing-kucing di rumah. Ikan-ikan itu biasanya kami rebus sebelum digaulkan dengan nasi. Di samping itu, aku berkira-kira untuk membeli ikan dan sayur serta barang keperluan dapur.
Sedang asyik menemani suamiku memilih rempeyek, aku ditegur oleh seorang pemuda. Kurenung tepat ke wajahnya. Jenuh aku mengingat sesuatu. Sayangnya aku gagal.
"Ni Cikgu Faridatul Akmar, kan? Pernah mengajar di Sungai Wangi...." Aku mengiakan kata-katanya. Sukar untukku mengingat tuan empunya diri.
"Siapa ni ya?" soalku inginkan kepastian.
"Shafie..." ucapnya.
Otakku berputar ligat mengimbau sekitar tahun 1992 - 1998. Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi, tempatku bertugas suatu ketika dulu. Si kembar itu rupanya.... Hatiku berbunga riang. Ya Allah, dah besar pun budak itu. Di ketika itu sukar untuk aku membezakan yang mana satu Shafie dan yang mana pula Hanafi.
Aku segera memperkenalkan dia kepada suamiku. Mereka bersalaman. Dia masih mengenali suamiku walaupun sudah lama kami dipisahkan waktu. Barangkali ingatannya cukup kuat mengingati raut wajah yang pernah ditemuinya dulu.
Menurutnya dia mengajar di UITM Lundu, Melaka. Masih bujang. Mengajar Agama menurutnya. "Ustaz Shafie" digelar di sana. Syukur kupanjatkan kepada Allah SWT. Menurutnya, kembarnya Hanafi pula bertugas di Jabatan Alam Sekitar di negeri Johor.
Dalam pertemuan itu suamiku sempat mengambil nombor telefonnya. Sebelum kami berpisah, kuucapkan terima kasih kepadanya. Masih sudi menegurku, masih mengingatiku yang dipanggilnya "cikgu".

Langgan:
Catatan (Atom)