Khamis, 29 Jun 2023

HARI KELUARGA LEGASI TOK BEDAH

    TERIMA KASIH atas jemputan untuk kami turut serta ke program Hari Keluarga Legasi Tok Bedah. Namun sekadar sempat bersama sekejap sahaja memandangkan ada urusan yang perlu didahulukan.

     Kebetulan pula lokasi pilihan berada di daerah kami, iaitu di Teluk Senangin. Rania Beach Resort merupakan pilihan mereka. Itulah penginapan yang telah ditempah. Sempatlah kami meninjau keadaan biliknya. Agak selesa. 

    Kemesraan jelas terbayang di raut wajah mereka. Ikatan kekeluargaan yang akrab dapat dlihat. Ramai juga yang dapat turut serta. Sesetengahnya memang cukup kami kenali kerana seringkali bertemu sebelum ini. 

    Sedang asyik memerhati, aku dan suami dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi pertandingan yang telah mereka laksanakan. Pasti meriah sekali acaranya yang bermula di awal pagi sehingga ke tengah hari. Malangnya kami tidak dapat bersama menyaksikannya. 

    Kegembiraan dapat dilihat semasa masing-masing membuka hadiah pertukaran yang penuh misteri. Gelagat masing-masing ada yang menghiburkan. Penuh gelak tawa. Kami berkongsi kegembiraan tersebut.
 

    Sebelum meninggalkan lokasi, kami meninjau Wardah dan Fatih yang tergolek keletihan di atas katil. Ah... penatnya mereka. Seterusnya kami dipelawa menikmati minum petang yang disediakan. Terima kasih buat semua. Ada rezeki kita bersua lagi.



catatan 17 Jun 2023

Khamis, 22 Jun 2023

PEKAN LAMA, BATU GAJAH

ISNIN lalu kami bertiga balik kampung lagi kerana ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan di sana. Usai segala urusan, suami memandu menghala ke pekan lama. Mata asyik memerhati beberapa bangunan lama yang masih ada.

    Kereta diparkir elok-elok di sisi deretan kedai. Aku memerhati keliling sebelum melangkah turun. Mata tertancap pada panggung wayang lama. Ah, lupa pula nama pawagam tersebut. Kelihatan ianya seperti terbiar.

    Aku mendapati agak ramai pengunjung menjamu selera di ruangan antara pawagam tadi dengan deretan kedai lama tersebut. Namun tidak pasti bagaimanakah rupa sebenar kedai makan itu kerana keadaannya sedikit berbalam.


    Mata memandang ke bangunan lama yang tersergam di seberang jalan. Kelihatan 'banner; tertulis BISKUT TIMBANG RM2 / PEK. Rupa-rupanya lokasi inilah yang dimaksudkan oleh suami. Member kamcingnya memesan satu kilo biskut idaman.

    Aku mengambil peluang meninjau-ninjau keadaan kedai sambil mengaju pertanyaan kepada adik yang bekerja di situ. Rupa-rupanya tauke kedai merupakan orang Kelantan. Bukannya orang tempatan. Kudapati bangunan dan dinding kedai masih lagi kukuh. Entah berapa tahun usianya tidak pula kuketahui. Cuma aku cukup kenal lokasi itu kerana di kawasan inilah aku dan kawan-kawan sering kunjungi selesai sahaja aktiviti sekolah di zaman 70-an dahulu.

 

    Aku mengamati sekitar, masih ada berbaki bangunan lama. Cumanya dicat baru. Bangunan lama pejabat penghulu tidak kelihatan. Di situlah aku dan ayah keluar masuk untuk mendapatkan tanda tangan dan cap tuan penghulu sebagai pengakuan untuk disertakan semasa aku berjaya masuk ke MPSI dahulu.

    Tapak pejabat itu kini dipenuhi deretan kedai dengan bangunan baharu. Pejabat penghulu telah berpindah lokasinya, aku ternampak kelibat bangunan tersebut semasa dalam perjalanan ke Changkat. Bangunan-bangunan lama sama ada bangunan batu atau papan, masih tersergam indah.


    Beberapa jenis biskut yang diminta, dibungkus kemas oleh pembantu kedai itu. Kami beredar setelah duit bertukar tangan. Sewaktu melangkah menghampiri kereta, aku sempat lagi melihat suasana sekitar. Apa tidaknya... di situlah tempat yang menjadi tumpuan kami anak-anak SK Batu Gajah suatu waktu dahulu.

    Sejarah lalu tetap menjadi kenangan, lebih-lebih lagi di usia begini. Pekan Lama, meninggalkan memori indah yang sukar untuk dilupakan. Kampung Pisang, gerotak kereta api, Sungai Kinta, lombong bijih, teratai, pasir lombong begitu sebati dalam hidupku suatu ketika dahulu. 
 



Ahad, 18 Jun 2023

AKSARA UNTUK UMMAH


Satu-satunya buku yang kusertai, mengandungi puisi dan prosa sekali gus. Berikut adalah blurb yang terdapat di kulit belakang buku:


Lantunan suara hati penulis dapat dibaca dan dihayati oleh sesiapa sahaja yang memiliki naskhah ini. 
Mereka mempunyai pandangan tersendiri dan disuarakan dalam bentuk tulisan. Kita boleh sahaja berbeda pendapat, sampaikanlah dengan bahasa yang baik.