I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, 24 May 2016

AMBULANS LAGI.....

Tatkala aku sedang menyemak buku muridku pagi tadi, kedengaran siren ambulans.  Dari tepi tingkap dapat kulihat ambulans bergerak laju sebaik-baik kereta di hadapan memberi laluan.  Ambulans yang tertulis KLINIK KESIHATAN LEKIR... 

Sejak kebelakangan ini begitulah suasana di hadapan sekolahku.  Semakin lebar jalan, kenderaan semakin laju.  Bulan lepas rasanya kereta ustazah dilanggar dari belakang.  Tak silap aku, ada empat kemalangan jalan raya berhampiran sekolah berlaku pagi itu.  Itu belum campur lagi dengan kejadian di luar waktu sekolah, yang tidak kami ketahui.

Rasa ngeri mula menghantui..... 

Sudah sebelas tahun aku mengajar di sekolah ini.  Sekolah yang lokasinya benar-benar berhampiran jalan utama.  Jejantas yang disediakan tidak pula membantu mengurangkan kadar kemalangan.  Malah jalan yang dilebarkan pula menyumbang meningkatnya kemalangan.  Kenapa ye?

Rupa-rupanya ambulans pagi tadi telah berkejar ke Hospital Daerah Manjung.  Dan pesakitnya yang dibawa ialah ayah kepada anak muridku....  beliau pengsan di klinik kesihatan berkenaan.  Apa puncanya tidak pula kuketahui.  Mudah-mudahan tidak ada apa yang membimbangkan.

Asal berbunyi sahaja siren ambulans melewati jalan utama itu, aku akan memberi peluang anak muridku melihat ke luar jendela.  Itupun sekiranya mereka bergerak ke arah tingkap kelas untuk memerhati.

Namun ada ketikanya, bunyi itu berlalu begitu sahaja tanpa dihiraukan. Malah sambil membuat kerja yang kuberi sempat juga berkata, "Ada accident ler tu......." ataupun "Ada orang mati ....".  Cekap betul anak-anak ini membuat kesimpulan tanpa melihat keadaan yang sebenar.

Kekadang sampai tiga empat kali bunyi siren ambulans yang kami dengar dalam tempoh masa persekolahan dari jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang.  Dan yang memandu ambulans itu adalah bapa kepada murid sekolahku juga.  Oleh itu sebarang info kejadian kemalangan mudah diketahui.

Dan kini laluan utama di hadapan sekolah kami makin membimbangkan, menakutkan, mengerikan, malah menimbulkan trauma kepada cikgu-cikgu yang pernah ditimpa musibah sebelum ini.






No comments:

Post a Comment