Jumaat, 15 Mac 2013

LUAHAN YANG TERPENDAM

Sesekali hatiku terusik juga dengan luahan rasa rakan sekerja.  Meneliti sebak hati seorang rakan cemerlang dalam menangani anak-anak didik yang kian menipis budaya menghadam ilmu yang dicurah.  Malah rasa hormat pada guru  kian hilang seiring dengan ancaman utama yang melingkari kita seperti facebook, twitter, pelbagai games, sms dan mms.  

Malahan lambakan bahan bacaan yang tidak bermoral di luar sana menjadi pengganti buku-buku akademik di sekolah.  Bukan tidak ada buku ilmiah di pasaran, tapi bahan bacaan ringan itu juga yang cukup serasi dengan pilihan hati.  Novel picisan mewarnai hati muda remaja, malahan memaut hati adik-adik yang baru menjengah di sekolah rendah.

Tambah berserabut lagi dengan lambakan filem Korea, Indonesia, Filipina dan lainnya yang menjadi halwa penyeri pawagam di rumah!  Bimbangnya kita dengan fenomena sedemikian.  

Berbalik pada kisah rakan sekerja tadi.....  mana mungkin tugas mendidik seratus persen boleh diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah.  Kekangan masa sememangnya kian ketara dewasa ini.  Berapa jam sahajalah anak-anak itu berada bersama gurunya di sekolah.  Dan selebihnya mereka akan bersama keluarga di rumah.  Barangkali ada waktu ke kelas tuisyen, ke surau atau majlis ilmu.  Tidak kurang juga yang duduk berjam-jam mengadap komputer atau laptop, ataupun menghadap TV.

Dalam hal ini, ibu bapalah memainkan peranan penting membantu guru mengurus dan membimbing anak-anak di rumah.  Pantaulah kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru, semak hasil kerjanya.  Kalau tidak berpuas hati, sila datang ke sekolah bertanya dan berkongsi masalah anak-anak.  Mungkin ini merupakan salah satu cara atau langkah penambahbaikan pencapaian anak. 

Janganlah hanya menuding jari menyalahkan pihak sekolah jika anak-anak tidak mencapai apa yang dihajati.  Guru-guru tidak akan mensia-siakan anak didik yang diserah dan diamanahkan kepada mereka.  Namun sikap anak-anak itu mungkin menggugat hati dan naluri seorang guru.  Bagaimana mungkin mahu menjadi pelajar yang baik kalau akhlaknya terhadap guru kelihatan sumbang.  Teguran guru tidak diambil kisah.  Tugasan yang diberi tidak diselesaikan.  Nasihat guru tidak diendah.  Akan beroleh keberkatankah ilmu yang dicurah selama ini.....

Kalau dahulu ibu bapa sendiri memberi hak dan kebenaran kepada guru untuk mengenakan tindakan terhadap kesalahan anak-anak, namun kini perkara tersebut telah lenyap.  Zaman sekarang guru-guru tidak ada hak untuk merotan, mendenda, mengherdik,  malahan menjegilkan mata pun tidak dibenarkan.  Kalau ada pun mungkin boleh dalam hal-hal tertentu sahaja dan hanya guru tertentu sahaja mempunyai hak berbuat demikian.  

Bukanlah hendak menyalahkan ibu bapa dalam hal ini, namun ibu bapa adalah guru mereka di rumah.  Ibu bapa juga merupakan orang pertama yang mendidik dan mengasuh mereka.  Ibu bapa adalah insan yang paling hampir dengan anak-anak.  Memang tidak dinafikan bahawa pengaruh luar atau kawan-kawan di luar sana begitu kuat.  Tapi kiranya anak-anak ini sedari awal telah dibekalkan dengan ilmu yang mantap,  sikap positif, motivasi dan doa, insyaAllah mereka mampu menjaga diri berhadapan dengan pelbagai cabaran mendatang.  

Sejajar dengan itu juga ruang waktu senggang di rumah boleh diisi dengan menyudahkan tugasan sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru.  Kalau tidak mampu mengajar, menemani mereka waktu belajar itupun sudah memadai.  Bimbinglah mereka agar mencintai ilmu.  Doakan mereka agar dipermudahkan urusan dan diberi keyakinan agar beroleh kejayaan dunia mahupun akhirat.  Tanamkan dalam diri mereka akan kepentingan ilmu.  Sesungguhnya orang berilmu dipandang mulia.

Sentiasalah memberi kerjasama dengan pihak sekolah.  Luangkan masa untuk bersama guru-guru misalnya dalam Mesyuarat Agung PIBG, gotong-royong di sekolah, hari bertemu waris, dan yang seumpamanya. Mungkin dengan cara itu anak-anak dapat melihat betapa mereka dihargai, bukan setakat menghantar anak-anak di pintu pagar dan mengambilnya waktu pulang sahaja.  Sesekali kehadiran ibu bapa itu dapat bertukar fikiran dan mengeratkan silaturahim dengan guru-guru di samping mengetahui perkembangan anak-anak di sekolah.  

Justeru, tindakan ibu bapa yang sedemikian dapat membantu guru-guru membentuk peribadi dan akhlak anak-anak di sekolah.  Tanpa komitmen dan doa ibu bapa, mungkin hajat untuk melihat kejayaan anak-anak terkandas di pertengahan jalan.  Oleh itu sama-samalah kita berusaha, berdoa dan tawakkal kepada Allah agar dianugerahkan ketabahan hati dan kesabaran dalam mendidik generasi hari ini ke arah pemantapan dan kekuatan rohani dan jasmani.

Tiada ulasan: