Ahad, 24 Mac 2013

BICARA TENTANG AYAH

Semalam aku membuat panggilan ke kampung.  Ayah menyambutnya.  Jelas suaranya ceria di hujung talian.  Sakit kakinya kian berkurang..... alhamdulillah.  Bercerita tentang pemakanan baru yang ditemuinya, jua tentang ibu yang turut sepakat menggunakannya.  Ada perubahan yang menggembirakan.  Syukur sangat-sangat padaMu Ya Allah.

Riang hatinya dapat kurasakan.  Mengungkap tentang pencapaian cucu kesayangan....... anakandaku yang kedua.  Mesra dipanggil Angah.  Kubiarkan dia berbicara panjang.  Merancang-rancang pilihan yang mungkin boleh dicadangkan buat Angah.  Biarpun tidak beroleh semua A, hatinya cukup berbangga. 

Begitulah sikap ayah.  Amat kasihkan cucu-cucunya.  Malahan anak-anakku amat mesra dengannya.  Andaikata ayah menelefon ke rumah, pasti semua akan ditanya.  Bertanya khabar mereka, pencapaian sekolahnya, apa aktivitinya. Kalau mereka ada di rumah, sudah pasti akan bercerita panjang di talian.  Dan kalau rindu sangat pasti ayah akan memandu sendiri datang bertemu kami.  Itu ketika ayah sihat.   

Semakin anak-anak membesar, semakin banyak aktiviti di sekolah.  Penuh dengan jadual kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, aktiviti petang, perkhemahan dan banyak lagi hingga kekadang tidak mengizinkan untuk kami balik kampung.  Ada kalanya Along yang belajar di kolej pula yang pulang ke rumah.  Meraikan Along bermakna sudah pasti hasrat balik kampung dibatalkan.  Kekadang ada kerja kursus atau urusan yang perlu diselesaikan yang menyebabkan dia pulang biarpun sekejap.

Namun tidak menjadi masalah bagi ayah untuk menghubungi cucu-cucunya kerana Along dan Angah masing-masing boleh dihubungi menerusi telefon bimbit mereka.  

Melewati usia yang kian meningkat, kisah ayah kekadang menggamit ingatanku.  Teringat tentang kami dua beradik (aku dan abang) yang sering menaiki basikal tua bersama ayah.  Dengan basikal itulah ayah membawa kami berjalan-jalan di sekitar kawasan lombong bijih timah tempat ayah bekerja.  Aku duduk di galang hadapan sementara abang duduk di karier belakang.  Ayah mengayuh dengan berhati-hati sambil bercerita tentang apa yang kami lihat.  

Di lokasi itulah tempat ayah bekerja.  Berpeluang menyaksikan gergasi berat yang terapung di permukaan lombong......  kapal korek. Hamparan putih bersih pepasir.  Begitu mendamaikan.  Dan waktu itu ayah digelar 'kepala lombong'.  Masih kuingat lagi cerita ayah tentang tuan 'orang putih' yang sering melihat ayah solat di tempat lapang atas pepasir dan batu.  Betapa ayah mengambil berat akan solat sehinggakan tuan manager menyediakan tempat khas bagi memudahkan ayah menyahut panggilan Allah tika bekerja.  Ah...... begitu prihatinnya dia.

Kekadang ayah membelikan kami ais krim seorang satu untuk dinikmati tatkala berbasikal sambil meninjau-ninjau sekitar tempat kerjanya.  Dan ada waktunya juga kami berempat beranak memancing di kawasan lombong berhampiran.  Murahnya rezeki tika itu.  Pada kebiasaannya ikan haruan dan ikan puyu banyak yang kami perolehi.  Selain dimasak terus, ada juga yang diasinkan.  

Ayah kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kain secara kecil-kecilan. Bila didapatinya ekonomi agak stabil barulah ayah nekad berhenti daripada kerja lombong.  Ayah menyahut sunnah Rasulullah.  Bermula dari situ ayah tidak menoleh ke belakang lagi.  Makin lama perniagaan ayah makin besar.  Ayah mula berniaga mengikut pesanan dan permintaan pelanggan.  Bermula daripada kain baju, ditambah lagi dengan pinggan mangkuk, akhirnya perabot! Ayah akan bersama-sama menaiki lori menghantar perabot masuk ke kampung-kampung mengikut permintaan pelanggan.  

Biasalah adat berniaga..... tetap mengundang risiko.  Ada yang cabut lari meninggalkan hutang.  Namun ada yang bagus menjelaskan hutang tiap kali ayah datang ke rumahnya.  Tidak menghampakan.  Malah menjadi pelanggan yang ayah hargai.  Hingga kekadang beberapa ringgit berbaki, ayah halalkan sahaja.  Begitu pemurahnya ayah.....

Kian meningkat usia, ayah tinggalkan dunia perniagaan itu.  Tapi ayah tidak meninggalkan terus atau berhenti daripada kerja sendiri.  Kemudian ayah beralih menjual surat khabar.  Langkah ayah semakin jauh.  Hingga kekadang terpaksa menghantarnya melangkau daerah.  Sampaikan ada kalanya ayah terus melanjutkan perjalanan berkunjung ke rumah kami, singgah melepas rindu terhadap cucu-cucunya!

Dan kini tatkala kekuatan makin kurang, keadaan kesihatan adakalanya terganggu, menyebabkan ayah mengambil keputusan hanya berniaga dalam lingkungan kawasan tidak jauh dari rumah sahaja.  Dan selebihnya ayah amanahkan kepada kawan-kawan dan sahabat yang lebih muda dari usianya.  Namun rezekinya tetap melimpah, alhamdulillah.  

Mengenang komitmen ayah dalam dunia perniagaan, kuucapkan tahniah!  Banyak masanya dihabisi ke arah itu.  Kecekapan ayah dalam bidang kira mengira tetap kusanjung.  Tidak hairanlah bahawa ayah pernah menjadi guru ilmu hisab mengajar rakan-rakan sekelasnya bila diamanahkan oleh cikgunya suatu ketika dahulu (di alam persekolahan).  Malah ayah pernah menewaskan gurunya dalam membuat pengiraan dan jawapan terhadap soalan ilmu hisab.  Hebatnya ayah!!!

Tapi itu dulu..... dan ketika ayah mempunyai kelayakan menjadi seorang guru, ayah terpaksa menguburkan cita-cita itu kerana kemiskinan.  Yang sedihnya rakan yang pencapaiannya lebih rendah dari ayah pula yang berjaya mengisi kekosongan itu.  

Tapi kesedihan ayah akhirnya terubat bila mana anaknya ini yang berjaya meneruskan cita-cita murni ayah.  Bakat penulisan ayah juga turut mengalir dalam diriku.  Terima kasih ayah.....  ayah banyak mengajar erti ketabahan dan kesabaran.  

Akhirul kalam, mudah-mudahan ayah sentiasa dalam kasih dan rahmat Allah.  Dikurniakan kesihatan yang baik, daya ingatan yang bagus, meniti laluan hidup ini dengan penuh kebahagiaan dan ketenangan.  Salam sayang dari anakandamu......

Tiada ulasan: