Beralih memandang wajahmu ayahanda...... biar menanggung sedikit ujian Tuhan, namun jelas cerianya. Mungkin gara-gara kehadiran cucunda yang tersayang. Rasa terkilanmu terbang entah ke mana! Rindu yang teramat seakan terlerai sudah.
Maafkan kami kerana hadir tanpa cukup korum. Hanya Bang Chik dan Kak Alang kubawa bersama. Kak Uda tak ikut serta kerana banyak 'homework' katanya. Adik yang lincah awal pagi lagi mengikut abi yang sibuk membantu di majlis kenduri kahwin. Along tidak balik kerana kesibukan menyudahkan kerja kursusnya manakala Angah masih belum selesai PLKN.
Dalam keadaan yang tidak cukup korum itu...... riak wajah ayahanda jelas membayangkan satu kepuasan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Aku menyedari akan hakikat itu. Maafkan kami kerana sudah lama tidak menjengah kalian berdua. Kesibukan dan kekangan masa...... barangkali itu alasan mudah untuk diluahkan.
Namun dalam kesibukan dan kesuntukan masa itu jualah kami sedaya-upaya memberi laluan untuk mengisi kekosongan dan kerinduan itu biar hanya seketika cuma. Dan aku amat-amat bersyukur dengan limpah keizinanMU Ya Allah, kami dapat meluangkan masa bersama.
"Peliharalah mereka berdua Ya Allah sebagaimana mereka memeliharaku sejak aku kecil lagi. Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku......Amin Ya Allah." Mudah-mudahan kalian berdua sentiasa dalam kasih dan rahmat Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan