Rabu, 15 April 2020

FIKIR SEJENAK

Acapkali manusia melihat dunia dalam pandangan yang berbeza.  Namun terima kasih yang tidak terhingga pada mereka yang sedia berkongsi ilmu kepada yang rajin membaca.  Mudahnya mendapat khabar berita, rencana dan maklumat hanya di hujung jari.  Namun perlu diingat, tapislah semuanya sebelum disebarkan kepada orang lain.

Betapa kita telah dikejutkan dengan serangan COVID 19....... yang pada mulanya tak terjangkau dek akalpun ia akan menjadi tetamu tanpa rupa. Tak nampak pada pandangan mata.  Bak HALIMUNAN lagaknya.

Ibarat ledakan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima......malah lebih jauh daripada itu.  Melihat peta hijau berubah kuning.  Kuning berubah jingga.  Jingga bertukar ke merah.  Zon bahaya!!!

Namun kesabaran menguasai suasana, khasnya pada mereka yang bertugas tanpa mengira masa dan tenaga.  Tanpa mengira warna kulit dan rupa bangsa.  Duduk di barisan hadapan dalam apa jua keadaan.  Dan di belakang mereka ada yang bertungkus lumus membuat persiapan barang kegunaan.  Tidak kurang juga yang menyediakan hidangan yang ala kadar khas buat mereka.

Dalam keadaan kritikal begini, segala kekuatan dan usaha dimanfaatkan sebaik mungkin.  Mereka menggembeling tenaga demi rakyat dan negara.  Manakala di sebelah pihak yang lain, arahan PKP dikerah.  Disaran agar duduk di rumah.  Meninggalkan tugas di lapangan. Bagi yang bekerja dari rumah, masih boleh dilaksanakan secara atas talian.  Segalanya memang tidak pernah dibayangkan sebelum ini bagi banyak pihak.

Di satu sudut pula......ada yang turun memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.  Betapa prihatinnya badan-badan NGO dan individu yang bermurah hati menghulurkan bantuan berupa barang dapur mahupun makanan.  Moga Allah sahaja yang menilai dan memberi balasan atas keikhlasan mereka.  Tidak ada beza membeza antara rakyat jelata.  
Semua dilayan sama rata.  Terharunya dengan usaha mereka.

Jauh di negara luar sana, makanan dan minuman serta bekalan ditinggalkan di sepanjang jalan.  Dibungkus elok-elok khas bagi sesiapa sahaja yang memerlukan.  Tidak ada rasa khuatir bagi mereka.  Malahan rasa mahu membantu itu memang cukup tinggi bagi mereka.  Bedanya dengan kita, yang sukarela menghantar terus kepada mereka yang amat memerlukan.  Berbuat baiklah bagaimana cara sekalipun.  Asalkan niat mulia itu terlaksana.

Berfikirlah secara positif di atas kehadiran covid 19 ini.  Makhluk yang Allah hadirkan, mungkin ada hikmah besar di sebaliknya.  Ambil iktibar di samping bermuhasabah diri, memikirkan di mana letaknya diri kita setakat ini.  Ujian yang tidak pernah terduga begini, memberi impak hebat kepada mereka yang mahu befikir.

Moga Allah melindungi kita semua dan negara tercinta ini.




Catatan pagi...
ida a.z.
ktb7 lekir
15042020






Tiada ulasan: