Isnin, 28 September 2020

Sepagi di pantai Pasir Panjang, Segari


 Kenangan bersama anak muda di dalam aktiviti membersih pantai Pasir Panjang, Segari pada 12 September 2020 yang lalu.   Kerja amal yang dianjurkan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersama Majlis Perbandaran Manjung ini mendapat sambutan daripada pelajar dari Seri Iskandar yang hadir satu bas ke daerah Manjung ini. Selain itu orang perseorangan yang datang dari pelbagai tempat turut sama menyertai program ini.
 
Pantai Pasir Panjang Segari ini merupakan pantai yang tiada pasang surut airnya.  Ombaknya agak kuat dan tidak sesuai untuk mandi manda kerana pantainya yang curam.  Namun begitu keistimewaan pantai ini ialah ia merupakan tempat pendaratan penyu bertelur.


Terdapat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di sini, di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.  Pengunjung boleh datang melihat hidupan ini dan mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti yang dilaksanakan di tepi pantai ini.

Usaha murni jabatan perikanan ini wajar dihargai.  



Kehadiran kami pada hari tersebut disambut deruan ombak.   Pantai memutih bersih, namun di celahan tumbuhan pantai tersebut terdapat banyak sampah sarap yang barangkali dihanyutkan air laut lantas dihempas semula ke pantai.  
Semuanya adalah akibat tangan-tangan manusia itu sendiri.   Dan yang menjadi mangsa adalah penyu-penyu di sini.

Sebelum sama-sama mengutip sampah (break free from plastic), kami telah diberi sedikit penerangan oleh wakil KUASA.  Betapa terujanya anak-anak muda ini bekerjasama melaksanakan aktiviti berkenaan.  Tekun berjalan di pesisiran pantai sambil mengutip sampah terutamanya plastik.  Plastik inilah antara bahan utama yang boleh membunuh spesies penyu yang mendarat di sini.  


Sempat juga berkenalan dengan beberapa orang aktivis KUASA.  Mereka adalah anak-anak muda yang cintakan alam sekitar.  Daripada merekalah sedikit ilmu dapat dikongsi bersama.  Alhamdulillah.... dapat berkenalan dengan 'Bintang' ..... siapakah dia sebenarnya?   Satu persoalan tak sempat dirungkai dalam kesibukan itu.  Dan hasilnya dapat disaksikan di bawah......




Mudah-mudahan kita dapat bersua lagi di dalam aktiviti atau program akan datang.  Bersama-sama kita menjaga alam sekitar.  Jangan sampai tangan-tangan kita ini menjadi punca musnahnya sebuah kehidupan ..............................






Tiada ulasan: