Selasa, 8 Jun 2021

PERJALANAN TERAKHIRMU

Assalamualaikum....
Dukacita dmaklumkan bahawa isteri sahabat kita En Zulkifli Zakaria telah kembali ke rahmatullah jam 6.55 pm tadi. Mohon sahabat-sahabat sedekahkan Al Fatihah.  Semoga roh arwah dtempatkan bersama-sama orang beriman. Amin. "

Begitulah mesej yang tertera di aplikasi Whatsapp Rasmi SKGL jam 7.45 malam.  Ucapan takziah dan Al Fatihah bersusun masuk selepas itu. 

Aku kehilangan kata-kata.  Terkunci bicara.  Wajah Ezan mengisi ruang ingatan. Sementara menunggu Isyak, aku sekadar mampu sedekahkan Fatihah dalam diam.  Kenangan-kenangan tika bersama muncul silih berganti.  Manis wajahnya bermain di ruang mata.  Namun aku tidak dapat menipu kesedihan yang meraja di hati.

Kian lama mutiara jernih mula bertakung, makin lama makin deras menuruni pipiku. Segera kuseka dengan sapu tangan.  Kali terakhir aku menziarahinya ialah bersama Kak Lang.  Tidak silap aku dua hari selepas majlis persaraan Kak Jan.  Ezan masih mengenaliku, disebutnya namaku.  

Sebelum itu aku ada mengunjunginya dengan Kak Nor.  Tapi waktu itu Ezan masih boleh duduk di katil sambil berbual mesra.  Pilu hatiku tatkala datang menziarahinya.  Kesihatannya makin merosot.  Aku tidak ingat bila kali terakhir kami sama-sama berbalas wasap.  Sesekali bertanya khabarnya hanya melalui aksara yang bermain di skrin telefon bimbit.

Terkenang aku saat mula menjejak kaki ke SK Lekir.  Ezan telah ada di situ. 15 Januari 2005 menemukan kami.  Dia merupakan antara guru yag bergerak pantas.  Langkahan kakinya agak laju. Sebentar sahaja dia akan tiba ke destinasi di dalam kawasan sekolah.  Begitu juga aku.  

Beberapa orang anakku merupakan bekas muridnya.  Terima kasih Ezan atas curahan ilmu buat mereka. Hingga ke saat ini apabila disebut nama 'Cikgu Ruhaizan'..... mereka akan teringat-ingat suara comelmu.

Enam belas tahun aku mengenalimu..... terlalu banyak kenangan tika kita bersama.  Kekuatan kau bertahan dan reda dengan ujian hebat itu, memberi keyakinan padaku bahawa engkau tidak akan mengalah walaupun sakit.  Apa yang kau rasai, kau sembunyikan di sebalik senyumanmu.  Hinggakan kau tetap hadir ke sekolah dalam keadaan berpimpin tangan dengan suami tercinta.  

Pernah suatu ketika aku memberi bantuan segera tatkala melihat kelibatmu yang agak kepayahan.  Aku hulurkan khidmat untuk membawakan baranganmu.  Kebiasaannya kau akan menolaknya, tapi tidak kali itu.  Kami beriringan jalan. Aku menemanimu hingga ke lokasi yang dituju.  Sedikit rasa cemas hadir tanpa diundang.

Hatimu tetap cekal, namun kekuatan jasad itu makin berkurang. Kami sedar semua itu.  Apalah daya kami membantu, melainkan doa dan kata-kata pujukan dan semangat.  

Berbekalkan doa dan kekuatan semangat itulah kau lewati hari-hari seterusnya.  Rutin bertemu doktor telah menjadi satu kewajipan buatmu.  Kami memahami semua itu, dan berharap ada sinar yang menanti di hujung sana.

Tatkala kau menyuarakan tahap kesihatanmu pada tahun lepas, pilu menyelubungi suasana.  Namun kau masih menguntum senyuman.  Manis seperti selalu.  Hari berlalu, berganti minggu.  Akhirnya bertukar bulan, dan kini masuk ke tahun 2021. Aku ditukarkan pula ke sekolah baharu.  

Tercampaknya aku dan Ina di sini, menemukan kami dengan Cikgu Zul, suamimu. Sesekali aku bertanya khabarmu terus kepada suamimu.  Kadang-kala Cikgu Zul yang tanpa diminta, menjelaskan kedudukan kesihatanmu.  Kami warga SKGL belajar menjadi pendengar setia.  Belajar memahami dan menerima seadanya.  

                                                    *******************

Hari ini, sebelum Subuh aku mengisi ruang waktu dengan bacaan Yaasin untuk dihadiahkan buatmu, Ezan.  Aku tidak pasti pada ayat yang ke berapa, air mataku mula menitis satu demi satu.  Suaraku mula tenggelam timbul.  Allahurobbi..... kaca mataku telah kabur dibasahi limpahan air mata.  Meluncur jatuh ke telekung.  Tompokan basahnya jelas kelihatan.  Aku benar-benar terasa kehilangan. Pilu menguasai.
  
Alhamdulillah... akhirnya aku berjaya juga menamatkan bacaan, dalam suara yang hampir tidak kedengaran.  Entah ke mana hatiku dibawa belayar.... aku pun tidak pasti.  Tahu-tahu akhirnya aku bertemu penghujung ayat.  Kuakhiri dengan titipan doa dan seberkas harapan.  Mudah-mudahan ujian yang dilalui itu menjadi penghapus dosa.  

Perjalanan terakhirmu telah sampai ke nokhtahnya.  Semoga engkau tenang di taman barzakh.  Insya-Allah, kami bakal menyusul.  Kenangan bersamamu tetap mekar dalam ingatan. 

 




Tiada ulasan: