Khamis, 10 Jun 2021

SALAM AIDIL FITRI SEMUA (PKP 2021)

 ASSALAMUALAIKUM semua.....

Tiba-tiba rindu menggamit lagi.  Syawal masih berbaki.  Hari ini sudah 29 Syawal.  Tahun ini masih seperti tahun lepas.  Kami tidak dapat pulang beraya di kampung.  Di Batu Gajah yang tinggal hanya rumah tua.  Sesekali kami datang menjenguk tetapi apabila kawalan diperketatkan, tiada upaya kami melangkah ke sana.

Rumah ibu kepada emakku letaknya di Kampung Gunung Mesah Hilir Gopeng. Mesra kami panggil 'Atok' sahaja.  Kebiasaannya orang perempuan dipanggil opah atau nenek, manakala yang lelaki dipanggil datok atau aki.  Tetapi bagi masyarakat kami, datuk disebut 'Nenek' manakala nenek disebut 'Atok'.  

Masih teringat zaman dulu, rumah Atok menjadi tumpuan kami.  Aku dan abang akan bertemu sepupu-sepupu yang terdiri daripada anak Mak Long, anak Acu dan anak Ayah Yang.  

Rumah Atok akan jadi riuh-rendah dengan kehadiran kami. Anak-anak Atok ada empat orang. Mak Long merupakan anak sulung. Tinggal bersama-sama Atok dengan empat orang anaknya. Ibuku merupakan anak kedua, digelar Mak Ngah. Aku dan abang dlahirkan di Gopeng tetapi dibesarkan di Batu Gajah. Ayah Yang sekeluarga yang menetap di Kampung Pulai adalah anak ketiga manakala Acu Sakdiah adalah anak bongsu Atok yang bermastautin di Kuala Lumpur.

Rumah Atoklah menjadi medan pertemuan kami semua lebih-lebih lagi apabila tiba cuti sekolah atau hari raya. Anak-anak Mak Long semuanya lelaki, Zul, Kamal, Memi dan Dedi. Anak Acu dua orang sahaja, Iza dan Adik.  Sama seperti aku dan abang (sepasang).  Manakala anak Ayah Yang pada masa itu hanya ada Yati dan Aziz.

Aku masih ingat lagi......laman rumah Atok dipenuhi pokok-pokok bunga.  Ada sebatang pokok limau 'sunkist' di hadapan.  Di belakang pula terdapat sebatang pokok rambai yang besar.  Jika dilihat jauh ke belakang, akan kelihatan beberapa batang pokok manggis. Pokok durian pun ada juga. 

Lokasi rumah Atok sebenarnya di lembah.  Rumah itu juga di tepi tanah perkuburan atau tanah wakaf.  Di celah-celah pokok getah yang tegap berdiri itu akan kelihatan kubur-kubur lama. Begitulah keadaan biasa yang kami lihat pada waktu itu.

Apabila kami mendaki ke belakang pula, akan kelihatan rumah adik Atok.  Di situlah tempat tumpuan kami menonton televisyen pada sebelah malam.  Jadi, kami amat rapat dengan keluarga itu. Ada Pak Sisom, Pak Nenggi, Pak Taey, Acik Nida dan Acik Enon.  'Pak' merupakan gelaran atau pangkat bapa saudara.  'Acik' pula bermakna makcik ataupun emak saudara.

Satu keluarga lagi yang agak rapat ialah Pak Andi dan Pak Man yang tinggal bersama ibu mereka.  Rumah mereka berdekatan.  Masih kuingat lagi akan sebuah perigi yang terdapat tidak jauh dari rumah Atok.  Aku akan melewati perigi ini sekiranya hendak pergi ke rumah Pak Andi. Dingin sekali airnya.  Namun jarang digunakan orang.

Keluarga lain yang turut kukenali ialah keluarga Acik Tupin.  Meskipun jarang bersua, aku tetap mengingati mereka.  Di MPSI aku bersua Acik Tupin.  Jarang sangat bertemu dan berbicara disebabkan desakan atau tuntutan tugas sebagai guru pelatih yang perlu didahulukan.  Jika ada masa lapang aku lebih suka menghasilkan karya.  

Selain Acik Tupin, aku turut mengenali Pak Piee yang pernah menumpang tinggal di rumah kami semasa beliau mengikut ayah bekerja di lombong bijih.  Dua minggu Pak Piee merasai kepayahan bekerja setempat dengan ayah setelah tamat persekolahan.  Seterusnya melanjutkan pelajaran ke politeknik.  Kemudiannya menjejak kaki ke maktab perguruan.  Dan aku dimaklumkan beliau berjaya meneruskan pengajian di UKM.  Tahniah Pak Piee!

Walaupun tidak selalu bertemu, namun aku mengenali keluarga mereka.  Pak Dullah selaku orang hebat di pejabat galian, Acik Zakiah (Simbun) seorang jururawat, Pak Kuta, Acik Juai dan yang bongsu Acik Semah.... semua masih melekat di dalam memori ini.

Tidak dilupakan juga Ina dan Kak Anis, cucu Tok Ngah.  

Keluarga Nek Ayien aku kurang rapat.  Cuma satu perkara yang tidak dapat kulupakan. Tika di zaman kanak-kanak dahulu, aku pernah menyertai anak Mak Long bermain 'perang-perang' dengan anak Nek Ayien.  Entahlah kalau acik Peah dan Acik Bitah masih ingat.

Aku kenal nama-nama berikut....Acik Chinah, Acik Bitah, Acik Peah, Acik Rehan, Pak Ali, Pak Duan dan Pak Rodi.  Adakah yang tertinggal? Rasanya yang ini sahaja nama yang diingati disebabkan emak dan ayah selalu bercerita dan menyebut nama ini.  

Seperkara yang masih terbayang ialah tentang kehadiranku di Gunung Mesah secara solo kerana membuat sedikit tugasan berhubung kerja kursus maktab.  Waktu itu aku singgah di rumah Nek Ayien untuk mendapatkan keizinan mencari maklumat.  Terima kasih atas layanan Nek dan Atok. Aku dipelawa makan tengah hari bersama. Alhamdulillah.

Juga tidak lupa kepada Acik Enon, barangkali masih ingat semasa Acik menemaniku mendapatkan info berkaitan 'Berjejak'.  Kenangan yang sedikit menyeramkan itu segar di ingatan.  Malangnya pensyarah tidak mengembalikan naskhah kajianku itu.  Aku sekadar membuat kajian, namun percaya jauh sekali!

Di suatu ketika yang lain, aku telah bertemu Nek Ayien ketika menghadiri majlis kenduri di tempat kami.  Cuma kurang pasti sama ada di Taman Bistari atau Taman Manika. Rezeki seterusnya......aku bersua anak-anak Nek Ayien di majlis kenduri rumah Makcik Muhai di Fasa 1A.  

Nama Nek Itam pula memang ada dalam kamus hidupku. Masih ada sekeping foto kenangan yang kusimpan. Saudara mara yang berada di Sengat pun pernah diceritakan emak. Cuma Pak Pian sahaja yang baru kukenali, tapi kita pernah bersua di Seri Manjung. 

Maaf jikalau ada yang tidak kusebut di sini.  Mudah-mudahan group wasap itu merupakan salah satu talian hayat yang mungkin dapat mengukuhkan silaturahim kita.  

Yang pergi tidak akan kembali.  Sama-sama kita hadiahkan Al Fatihah buat mereka. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan walaupun hanya bertemu di maya.  Kemaafan yang dipinta sekali lagi andaikata nama-nama anda tidak disebut di sini.  

Tiap kali raya tiba, ingatan pada kalian subur kembali.  Dan mulalah teringat pada 'kelamai' ........  makanan tradisi kita.  Kawan-kawan di sini pun tertanya-tanya tentang kelamai.  Namun nak merasa entah bilalah lagi. Biasanya kukatakan ..."Cubalah google".  Makanan kita bersama suatu ketika dahulu, tetapi kini dicari orang.




Tiada ulasan: