Khamis, 3 Jun 2021

SELAMAT BERHIJRAH SAHABAT

 Mengenalimu tidaklah lama, belum sampai pun setahun.  


Aku ingat lagi, saat pertama kali mendapat khabar bahawa aku 'ditukarkan' ke sekolah baharu.  Tercenganglah juga.  Tetapi disebabkan memahami situasi diri yang telah lama di situ, maka eloklah aku angkat kaki.

Dan kali ini kejadian yang sama pula terjadi ke atas diri sahabatku Fatihah Irdina Lyn Abdullah, mesra kupanggil 'Lyn'.  Enam belas tahun di sekolah berkenaan, samalah juga seperti aku.  Banyak kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja.  Satu tempoh masa yang agak panjang.

Cuma bezanya Lyn memang memohon untuk bertukar sedangkan aku sebaliknya. Sedikit bezanya, namun enam belas tahun itu pasti sarat dengan belbagai rencah kehidupan.  Ada pahit manisnya, asam garamnya semuanya cukup.  Barangkali boleh dimuatkan segala kisahnya di dalam sebuah buku.

Kembali mengenang sejarah pertemuan kami.....

Pertemuan yang pertama kali dengannya ialah di hadapan klinik haiwan. Sebenarnya pada hari tersebut aku ada janji temu dengan doktor berkaitan rawatan si manjaku.  Setelah urusan selesai, aku menanti Lyn pula.  Buku solonya KT 24 97 Bawa Daku Pulang telah kutempah lebih awal.

Sebaik-baik buku dan wang bertukar tangan, aku dan Kak Lang terus pulang. Tidak sempat pun berbual mesra kerana suasana 'tidak aman' pada masa tersebut.  Berlama-lama di luar dalam suasana covid19 bukanlah pilihan utama.  Semua kena bergerak pantas.

Sekilas pandang sempat bertegur sapa, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kuungkap ringkas.  Dan bermulalah lembaran demi lembaran kuhadam.  Buku solonya yang mendapat tafsiran meleset dariku.  Aku ingatkan kisah penerbangan.....

Tewas aku dengan tipu daya!  Akhirnya aku senyum sendirian.  Sempat aku berkenalan dengan Lyn hanya melalui aplikasi 'whatsapp'.  Pengalaman indah diolah dengan bahasa yang cukup baik bagi seorang yang bukan Melayu.  Ralit aku membaca kisahnya yang amat berharga.  

Akhirnya keterujaan itu kucatat di dalam blog ini juga pada tahun lepas.  Dan tanpa diduga kami bertemu pula di dalam Legasi Abah.  Kami ditempatkan dalam kumpulan yang sama.  LA 6!

Disebabkan kekangan masa dan berada di dalam dua tugasan, maka sudah pasti kami memilih tugasan hakiki untuk didahulukan.  Begitulah kami, sesekali menyampuk di dalam kumpulan wasap LA6. Hampir kelemasan untuk menyudahkan tugasan yang diminta oleh Puan Sri Diah yang mesra dipanggil 'Mak' .

Tidak jauh beza antara aku dan Lyn.  Sama-sama bertugas di dalam bidang pendidikan. Cumanya aku di sekolah rendah.  Di kelilingi keriuhan anak-anak kecil yang tidak jauh bezanya seperti cucuku.  

Mudah-mudahan Lyn dapat memberi khidmat terbaik untuk negeri kelahirannya, Sarawak.  Akhirnya kita bakal seratus persen menjadi sahabat maya.  Insya-Allah, jika ada rezeki kita bersua kembali.  






Tiada ulasan: