I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 13 March 2013

Tahniah Dari Cikgu

Berjiran dengan kelas Pendidikan Khas mengajar aku agar lebih memahami.  Seterusnya belajar menghargai insan anugerah Allah itu.  Peristiwa pagi tadi membuatkan hatiku sedikit teruja.  Inilah buat pertama kalinya dia memberi respon terhadap teguranku!

Selama aku mengenalinya...... setiap ucap salamku tidak ada penyambutnya.  Tanya khabarku...... takkan mungkin ada jawabnya.  Apa yang ada hanya renungan yang kosong.  Seolah-olah tiada perasaan.  Mungkin ada juga insan sedemikian.  Namun apa yang pelik ialah sikapnya di rumah jauh beza dengan apa yang berlaku di sekolah.  Dan yang paling tidak disangka ialah....... semua yang berlaku di persekitarannya mampu diceritakannya apabila dia berada di rumah!  Jaga-jaga........ rahsia guru-guru di kelasnya akan jadi tidak rahsia lagi!  (Maaf terlebih pula......)

Begitulah sikapnya yang diceritakan oleh salah seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) kepadaku.  Pada anggapanku anak ini begitu hebat, boleh bertahan dengan sikap membisunya tika berada di sekolah.  Terkunci kejap lidahnya daripada terus berkata-kata seperti di rumah.  Sebaik-baik kakinya melangkah masuk ke perkarangan sekolah, mulutnya secara automatik tertutup rapat!

Dan pagi tadi seperti biasa aku menegurnya seperti selalu.  Tanpa kuduga ada respon positif darinya!  Hatiku berbunga.   Ketiga-tiga soalan mudah yang kukemukakan dijawabnya perlahan tapi jelas kudengar.  Syukur alhamdulillah! Adakah ini petanda dia mula berubah?  Ataupun moodnya baik pagi-pagi begitu...... entahlah.  Bersangka baik sahajalah, kita diajar begitu.  

Dan tatkala dia bersama rakan-rakannya duduk di bangku sebaik-baik pulang dari stadium tengah hari tadi, aku menegurnya sekali lagi.  Kuucapkan tahniah padanya, kerana berjaya memungut pingat emas dalam acara larian (lumba lari) dalam kejohanan olahraga Pendidikan Khas.  Pecutannya sungguh hebat! Tahniah dari cikgu!!!  Sesungguhnya benarlah....... bahawa setiap insan itu ada keistimewaannya yang Allah anugerahkan. 


Kelihatan Syakira (di kiri sekali - bertudung putih, anak tudung hitam)
bersama-sama rakan, guru dan PPM memotong kek
 sempena sambutan Hari Lahir anak-anak PPKI pada tahun lepas.




No comments:

Post a Comment