Di zaman serba canggih ini ramai di kalangan anak remaja suka melayari internet. Malahan memiliki akaun facebook, barangkali juga mempunyai blog sendiri. Begitu jauh bezanya seperti zaman dulu. Pendek kata, semua maklumat di hujung jari! Semuanya bergerak pantas, sekelip mata satu berita dimuatkan dalam facebook, sepantas kilat ia akan tersebar ke seluruh dunia. Merebak bagai api yang sedang melahap dalam cuaca yang panas membakar.
Namun kita perlu berhati-hati dalam membuka bicara. Berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Segala yang berlaku dalam kehidupan seharian kita, tidak wajar kita ceritakan kepada umum. Tidak perlu bermegah-megah atau memohon simpati daripada rakan facebook kita. Kita sepatutnya tidak perlu bersusah payah untuk semua itu kerana malaikat di kiri kanan kita sudah maklum akan tugas mereka mencatat segala gerak geri kita.
Gambar-gambar yang kita ambil sebagai kenangan tidak perlulah diuploadkan kesemuanya. Ada had dan batasnya. Jagan sampai ia menjadi bahan fitnah yang tidak kita duga. Jangan biarkan wajah kita menjadi bahan tontonan semua walaupun aurat terjaga. Ingat bahaya sentiasa ada di luar sana! Mereka yang berpakaian sempurna boleh 'ditelanjangkan' dengan kebijaksanaan 'pencolek' di alam maya.
Namun demikian, kiranya ada ilmu yang boleh dikongsi bersama amatlah dialu-alukan untuk dicatat pada status kita. Ada gambar indah yang kita rakamkan, lebih baik kita ketengahkan. Mungkin dengan cara itu orang lain pun dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah. Malah memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran dengan kurniaanNya.
Selain itu kongsilah kata-kata semangat, motivasi, ayat-ayat Allah, kisah dan sejarah yang dapat memberi ibrah kepada diri dan rakan kita.
Ada persoalan yang kita musykilkan, boleh kita utarakan. Mungkin ada rakan yang boleh membantu. Namun seringkali berwaspada kerana ada teguran yang membina, tidak kurang juga yang boleh menjatuhkan kita.
Sentiasalah berlapang dada kiranya status kita tidak disukai orang, kerana sesungguhnya Allah menilai kita. Buatlah kebaikan yang akan menambah beratnya pahala kita walaupun orang tak berminat untuk 'like'.
Teruskan menulis.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan