Dunia ini ciptaan Allah. Muka bumi ini Dia yang menciptakannya. Dan kita diberi peluang bernafas di buminya ini dengan kasih dan rahmatNYA. Dan Allah jualah yang telah mempersiapkan segala peraturan dan undang-undang yang perlu kita patuhi.
Tidak ada satupun milik kita di dunia ini. Segalanya pinjaman belaka. Dan kita sama-sama dapat merasai nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Setiap yang dikurniakan itu tidak perlu kita bayar. Semuanya percuma! Dan sememangnya kita tak akan mampu membayar harganya.
Dan Allah jua Maha Pengampun. Malah pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita memohon keampunan kiranya tersilap langkah tersalah arah. Betapa besar kasihNYA pada kita.
Namun kita yang mengaku diri Islam ini seringkali tersasar dari sempadan. Semua pemberian Allah yang tidak terhitung itu kita mahu, malahan makin banyak memohon dan meminta itu ini daripadaNYA. Tidaklah salah tindakan kita itu, tidak ada dosa pun kiranya kita berbuat sedemikian. Tetapi cuba kita fikirkan sejenak. Sebagai seorang hamba, kita cuma perlu tunduk patuh terhadap aturan yang Allah telah ciptakan.
Garis panduan telah lama tersedia. Cara hidup Islam patut dan wajib kita amalkan dalam kehidupan kita. Wajarkah kita mengambil sebahagian daripadanya untuk diaplikasi dalam kehidupan kita dan meninggalkan sebahagian daripadanya pula?
Apakah kita sudah cukup hebat untuk mewujudkan satu undang-undang dan peraturan untuk menggantikan undang-undang Allah? Bab solat, puasa dan haji kita terima bulat-bulat. Kenapa bab ekonomi, politik, pendidikan dan sosial kita pinggirkan dan asingkan dari kehidupan kita?
Kerosakan yang berlaku di mukabumi ini adalah akibat dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Mari kita fikir-fikirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan