Selasa, 7 Jun 2022

LABUH ITU INDAH


KISAH pengalaman yang mengesankan bagi wanita tatkala mereka berhijrah ke arah yang lebih baik terkandung di dalam buku Labuh Itu Indah, keluaran Ulu Albab Publication.

    Begitu hebatnya suatu waktu dahulu bila mana penghijrahan gadis atau wanita ke arah yang lebih baik dengan menutup aurat, dilabelkan dengan pelbagai nama. Ada yang dikatakan Hantu Kom Kom, Hantu Stoking dan Ninja.

    Berbedanya zaman sekarang... ye zaman dah berubah. Label itu hilang begitu sahaja. Kini pelbagai jenis dan bentuk tudung pula berlambak di pasaran. Pelbagai nama pula boleh kita dapati. Rambang mata dibuatnya apabila melihat corak dan warna yang menarik hinggakan sukar untuk membuat pilihan.

    Tetapi jangan mudah terpedaya. Jangan kita leka dihanyutkan atau tenggelam di dalam fesyen yang ada di kedai, butik dan pasar raya.  Zaman sekarang mudah sangat untuk mendapatkan tudung, tetapi berbaloikah kita mengeluarkan wang mengikut harga yang ditawarkan sedangkan aurat kita masih belum terlindung sepenuhnya.

    Tanpa kita sedari, penelanjangan syaitan telah pun bermula. Sedikit demi sedikit kita digoda dan tergoda dengan fesyen yang ditawarkan. Terkadang kita terikut-ikut dengan apa yang dihidangkan di media sosial. Fabrik yang lembut dan cantik coraknya, boleh memukau hati. Namun fkirkan pula nipis tebalnya kain tudung tersebut. Memang ada pelbagai saiz yang boleh dipilih. Berhati-hati semua. Ingatlah bahawa kita dipesan untuk melabuhkan tudung hingga ke paras dada. 

    Berpakaian menutup aurat biarlah seikhlas hati, bukan ikut-ikutan atau secara paksaan disebabkan di sekitar kita kebanyakannya wanita bertudung.  Maka kita pun ikut bertudung. Bertudunglah dan menutup auratlah semata-mata kerana Allah, tujuan untuk patuh kepada perintah-Nya.

    Salah tanggapan sering berlaku terhadap apa yang dikatakan menutup aurat ini. Ia tidak sama dengan istilah membungkus atau membalut aurat, hinggakan pakaian yang dipakai kelihatan ketat dan menyukarkan pergerakan. Begitu juga ada dalam kalangan wanita yang memakai tudung tetapi berbaju atau berseluar ketat, berlengan pendek, atau berbaju nipis. 

    Sekadar menutup atau melindungi rambut daripada pandangan orang lain bukanlah bermakna menutup aurat. Kekhilafan persepsi sedemikian sepatutnya dibetulkan. Quran telah menggariskan bagaimana kita sepatutnya melabuhkan tudung. 

    
 

Ahad, 5 Jun 2022

TERIMA KASIH SAHABAT


INI merupakan cover beberapa buah buku antologi yang aku sertai. Bermula dengan menulis puisi moden dan cerpen, akhirnya aku cuba pula menulis anekdot, travelog dan pantun (puisi tradisional).

    Sejak COVID-19 melanda dan PKP pun bermula... aku turut kembali bersemangat menulis. Minat yang lama kugilap semula. Terpikat dengan pelawaan dan ajakan sahabatku iaitu Jun dan Kak Normah, maka aku terus melangkah.

    Buku Puisi pertama yang menempatkan karyaku di dalamnya ialah Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' manakala buku yang memuatkan karya cerpen ialah Sepilihan Memorabilia 2020 (Dalam).  Belajar biar berguru. Maka aku menadah ilmu daripada mereka yang pakar, termasuklah Puan Sri Diah Shaharuddin, Ir. Basri Zakaria, Tok Mat (Muhamad Musip), Wacana Minda, Puan Ku Sunira Ku Johari dan Puan Hasreeyati Ramli.

    Di samping itu, aku turut belajar daripada sahabat sepenulisan yang kukenali melalui Kumpulan Whatsapp dan Facebook. Ramai yang sudi berkongsi ilmu dan maklumat, terima kasih sahabat. Kekadang kita hanya bertemu di maya dan halaman buku. 

    Moga kalian terus maju jaya di dalam penulisan. Mudah-mudahan hasil penulisan kalian menjadi pedoman dan ibrah buat pembaca. Kepada yang sudah mula melangkah ke tahap pembikinan buku solo, tahniah sahabat! Semoga berjaya.

    PBAKL sedang berlangsung sekarang. Buku-buku yang di dalamnya terkandung hasil karya kita, mungkin turut dipamer dan dijual kepada peminat buku. TAHNIAH SEMUA!!!

    Kali  terakhir aku menjejak kaki ke pesta buku ialah semasa ia diadakan di MAEPS. Terasa penat juga berjalan di kawasan yang luas. Waktu itu kaki masih kuat melangkah, alhamdulillah. Memang teruja sungguh melihat lambakan buku yang pelbagai.

    Oleh kerana anak-anak juga merupakan peminat buku, tiada masalah untuk kami berlama-lama di situ walaupun datang dari jauh. Berbaloi rasanya dapat menikmati pesta tersebut. 

    Teringat juga kepada Guru Pusat Sumber Sekolah SKL yang pernah bersusah-payah membuat rombongan lawatan ke pesta buku beberapa tahun yang lalu. Kesedihan dan kekecewaan beliau untuk mendapatkan bas terbaik untuk anak muridnya dikongsikannya bersamaku. Pengalaman itu kurasakan akan tersimpan kukuh dalam ingatan. 

    Aku juga punya pengalaman menarik sewaktu menjadi salah seorang juri di dalam pertandingan pusat sumber suatu ketika dahulu. Berkampung dan menjelajah ke beberapa buah sekolah baik di bandar mahupun di pedalaman di daerah Hilir Perak, begitu menyeronokkan. Berkongsi pengalaman dan menimba ilmu daripada guru-guru PSS yang dekat dengan buku.

    Sekiranya kita mampu untuk berada di pesta buku, luangkanlah masa di situ untuk memilih buku yang berkenan di hati dan boleh menambahkan ilmu yang bermanfaat. Menelusuri kisah dan pengalaman berharga yang dipaparkan dalam bentuk penulisan mungkin boleh membangkitkan semangat dan minat menulis.  Buat sahabat penulis, teruslah menulis. Kepada mereka yang baru bermula, teruslah berusaha dari langkah pertama. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

Jumaat, 3 Jun 2022

Cerita Lama, Cerita Baharu

SETELAH masuk ke alam persaraan, terasa ada banyak masa mengenang sejarah lama yang mekar di ingatan. Jejak-jejak di awal persekolahan masih segar bayangannya. Bagaikan teringat-ingat kembali saat-saat aku melangkah ke tadika dan sekolah rendah.  Lelorong di kampung dan rumah-rumah lama seakan menggamitku pulang.

    Rumah tinggalan ayah seakan-akan memanggilku untuk menjengahnya. Cempedak nan sebatang yang rimbun buahnya tatkala hadirnya musim buah-buahan, seakan-akan merajuk. Apa tidaknya, buahnya makin berkurang. Pokok kesayangan emak ini memang tidak dinafikan lebat buahnya. Lebih mengujakan aku sewaktu menikmatinya isinya. Tebal isinya, kesep bijinya. Sukar untuk mendapatkan biji yang cantik untuk dijadikan benih.

  

    Kekerapan ayah bersedekah kepada kawan-kawan dan jiran tetangga, menjadikan cempedak ini dikenali. Kadang-kadang apabila tiba musim buah, kami akan dipanggil pulang hanya semata-mata untuk menyerahkan buah yang dikutip dalam kuantiti yang banyak.

    Maka kami akan memanjangkan pula sedekah itu kepada tetangga. Tidak termakan kami akan buahnya yang dibekalkan itu. Semasa hayat emak, dia sering bercakap-cakap dengan pohon buah-buahan agar rajin berbuah. Sambil menyiram, dia akan membelai dengan pujukan. Begitu kasihnya emak kepada tanaman sekeliling rumah. 

    Mengingatkan itu semua, aku teringat semula akan tragedi pokok cempedak yang ada di belakang rumahku sekarang. Pokoknya telah lama ditanam, malangnya tidak berbuah. Berbeza dengan dua batang lagi yang ditanam kemudian, tapi sudah memperoleh hasil yang boleh dinikmati walaupun tidak secantik isi cempedak di kampung.

    Apabila suami menyatakan hasrat untuk menebang pokok tersebut, tiba-tiba kali ini ia mula berbuah. Syukur alhamdulillah. Mudah-mudahan dapatlah kami merasa buah sulungnya nanti. Amat benarlah bahawa kasih sayang itu bukan untuk sesama manusia sahaja. Kita perlu menyayangi haiwan dan juga tumbuhan juga seluruh isi alam. Kerana Allah menjadikan semua itu tidak sia-sia.

    Berkat kerajinan ayah dan emak berbudi kepada tanah, kini anak cucunya dapat merasa hasil titik peluh mereka. Mudah-mudahan beroleh pahala yang berpanjangan buat mereka berdua. Rindu dari kami buat emak (tokmok) dan ayah (tokwan).