Sabtu, 11 Jun 2022

JAH

 AKU tiba-tiba teringat kepadanya. Usianya sebaya dengan anak bongsuku. Bagaimanakah keadaannya sekarang? 

    Pertama kali menjejak kaki di tahun satu, kami kurang mengenali siapakah mereka. Kekadang apabila nama dipanggil pun, ada yang tidak menyahut. Diam membatu. Apabila diselidiki, barulah kami tahu ada  panggilan lain yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka di rumah. Patutlah tidak menyahut langsung.

    Kelakar sungguh anak-anak tahun satu. Bagi yang sudah biasa bersekolah tadika, mungkin mudah bagi guru berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka. Bagi yang tiada pengalaman itu, mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan guru dan kawan-kawan. Pendek kata siapa pun mereka, cikgu-cikgu yang mengajar tahun satu sudah lali dengan perangai anak kecil ini.

    Jah yang dapat dikesan pencapaian IQ yang agak rendah, akhirnya ditempatkan di PPKI. Itupun setelah menjadi muridku selama setahun. Kelihatan seringkali duduk di bangku batu di hadapan kelasku. Aku pula kerap menegurnya dengan ucapan salam. Namun untuk mendengar suaranya adalah sia-sia. Tidak pernah sekali pun dia menjawab salamku.

    Aku tidak pernah berkecil hati dengan sikapnya itu. Ibunya pernah menceritakan perihalnya ketika berada di rumah. Mulutnya akan lincah berbicara. Riuh bunyinya, sesekali memarahi adiknya. Namun suaranya itu terkunci tiba-tiba bila mana dia memasuki pintu pagar sekolah. Memang benar kata-kata ibunya itu. Terlalu sukar untuk mendengar suaranya ketika sesi PdP berlangsung. Namun dia boleh menyalin, cumanya tulisannya tidak kemas.

    Seingat aku, Jah berhenti sekolah awal. Rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah di penghujung sekolah rendah di aliran PPKI. Kini usianya mencapai 19 tahun. Apakah yang dilakukannya sekarang? Anakku masih lagi berhempas pulas belajar, menadah ilmu yang diminatinya. Jah yang pernah sekelas dengannya telah lama meninggalkan alam persekolahan. 

    Moga Allah permudahkan urusanmu, Jah. Bilakah agaknya kita dapat bersua kembali? Hampir setahun ucapan salamku tidak bersambut.....tidak mengapa.  

Jumaat, 10 Jun 2022

CIKGU-CIKGU SEKOLAH TERAKHIRKU

 PANTUN KENANGAN


Dalam bakul ayam kuzi,

    Makan berdehem tersedak kari;

Cikgu 'cool' Encik Rodzi,

    PK HEM digelar 'Tan Sri'.


Kereta Naza pandu ke timur,

    Nampak teguh merayap di tanah;

Miss Haiza guru 'glamour',

    Baik sungguh Puan Jamnah.


Sungguh berbeza ikan patin,

    Ditangkap berjaya tempoyak menanti;    

Puan Hasniza guru prihatin,

     Muda bergaya Luqman Massuti. 

    

Dapat belida di waktu senja,

    Jangan dimain segera disiang;

Ustazah Aida bersemangat waja,

    Muallimah Ain guru penyayang.


Sekadar sempat kunukilkan empat rangkap pantun kenangan buat sahabat di sekolah terakhirku SKGL. Semua guru yang kukenal di sini mempunyai kelebihan masing-masing. Semuanya memiliki keistimewaan tersendiri. Bergabung dalam sebuah sekolah, memberikan khidmat terbaik buat warganya.

    Walaupun banyak tugasan yang perlu diselesaikan, bebanan tersebut berjaya diselesaikan dengan baik. Mudah-mudahan kalian dapat saling membantu serta mencapai kata sepakat dalam memenuhi aspirasi negara. Selamat tinggal semua, teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Bersabarlah dengan ujian dan dugaan yang mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pendidik. 

    Kenangan setahun kita bersama akan kuingat selalu. 

 


Khamis, 9 Jun 2022

JOM BERPANTUN

 


BETAPA sukar untuk membina pantun yang baik serta indah. Begitulah yang dapat kurasakan sejak mula menyahut cabaran menukil pantun musim pandemik. Pengalaman sudah ada, apa yang dirasai ... turut terlibat sama. Namun untuk menjadikan semua itu berbentuk pantun, bukan semudah abc atau 123.

    Bukan setakat rima akhir yang sama untuk baris pertama dengan ketiga, dan baris kedua dengan keempat. Ia merangkumi jeda, atau berhenti seketika di tengah pun... perlu diambil perhatian juga. Rasa-rasanya berhempas pulas untuk mencari kata-kata terbaik untuk menambah seri baris pertama dan kedua. 

    Begitulah pengalaman yang dapat diungkap ketika bersama dengan kumpulan penulis Menganyam Hikmah ini. Orang-orang hebat berada di dalam kumpulan ini, sedangkan aku yang hanya peminat pantun dan bekas guru Bahasa Melayu sahaja. Sekadar tahu bentuk pantun dan melafazkannya, untuk membina pantun pun masih terkial-kial.

    Kerapkali mereka berbalas-balas pantun di dalam Group Whatsapp Menganyam Hikmah, bagaikan berada di alam dondang sayang pula. Bukan calang-calang orang mereka ini. Aku tidak banyak menyampuk. Bimbang bahasa pantunku tunggang-langgang nanti. Aku banyak belajar dengan meneliti pantun-pantun mereka.

    Terima kasih sahabat ... sudi berkongsi ilmu dalam memartabatkan pantun di mata dunia. Terima kasih juga kerana memberi idea dan menambah cantiknya aksara sebelum ia dicetak. Walaupun terlalu lama menanti kelahirannya, namun aku berpuas hati dengan terbitnya setelah aku bersara.

    Kini aku masih menanti kehadiran Harum Kesidang 2 pula. Bilakah agaknya akan memunculkan diri....