Sabtu, 25 Jun 2022

BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT

     "MAK CIK, nanti harga nasi naik tau," ujar gadis di gerai kuih itu. Aku hanya senyum tawar. Bukan menidakkan atau menafikan kata-katanya. Memang aku pun tahu. Maklum semua itu.

    Aku memang mengikuti perkembangan semasa. Rugi kita jika tidak mengambil endah hal bernegara. Memikirkan situasi saat ini yang semakin gawat, agak cemas juga. Mana tidaknya... selepas satu, satu lagi bahana yang datang menimpa. Betapa resahnya hati mereka yang merasai. Siapa lagi kalau bukan kita rakyat jelata.

    Lelah rasanya menyelami permasalahan. Bertimpa-timpa menerima ujian yang tiada kesudahan. Sebak bertenggek di ruang rasa. Mudahnya aku mengalirkan air mata menyaksikan kepayahan yang ditanggung. Lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah atau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di zaman yang serba mencabar dalam membesarkan anak-anak. Itulah yang terpaksa dihadapi. 

    Dalam keadaan begini, di hujung terowong telah kelihatan tanda-tanda PRU akan menjelma. Untuk mengadakan PRU terpaksa menelan belanja yang agak besar. Ada yang sedang menunggu untuk menjadi calon, ada yang telah bersedia andai kata diri dicalonkan. Malah ada yang ingin mencalonkan diri sendiri untuk menjadi calon.....

    Di bawah ini ada yang memerhati, di atas sana ada yang lebih memerhati. Berebut kuasakah demi mengisi kantung? Atau benar-benarkah sedia bertanggungjawab menyelamatkan negara sekiranya berjaya memperoleh kuasa? Tepuk dada tanyalah iman. Rakyat di bawah telah lama menderita. Percakaran dan perebutan kuasa tidak membuahkan hasil yang memihak kepada rakyat marhaen.

    Pemimpin datang dan pergi. Pemimpun silih berganti. Namun kabut masih lagi tidak berarak. Janji tinggal janji. Harapan tinggal harapan. Amanah yang digalas ... tidak mampu dipikul dengan baik. Bersedia memegang jawatan, namun sekadar namanya jawatan. Tidak berupaya meledakkan satu idea yang boleh dibanggakan.

    Melihat keadaan yang sama tiap kali berakhirnya PRU... menjadikan kita letih. Penat. Kehidupan masih ditakuk lama. Malah lebih tertekan, sehinggakan ada yang mengambil jalan pintas dengan menamatkan riwayat hidup. 

    Harga barang yang semakin naik disuap kepada kita semua. Satu per satu. Subsidi ditarik balik... adakah begini cara untuk menyelamatkan ekonomi negara? Pelik memang pelik. Amat malang sekali apabila elaun pemimpin dinaikkan pula. Wajarkah jalan ini yang dilihat boleh menyelesaikan masalah negara? Setelah cukai itu ini dikenakan kepada rakyat jelata, kami dihadiahkan dengan kenaikan harga barangan pula?

    Andai inilah caranya mentadbir negara... benarlah bak kata orang bahawa 'otak letak di lutut'. Pemikiran yang tidak pernah terduga. Jika harga ayam mahal, makanlah ikan. Jika minyak masak mahal, tukarlah cara memasak. Jika petrol mahal, guna sahaja basikal. Ini bukan jawapan yang sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin. 

    Jika beginilah gayanya, tukar sahajalah pemimpin yang ada sekarang dalam PRU nanti. Buatlah pilihan yang tepat. Pilihlah mereka yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab dalam menggalas jawatan yang diberi. Seandainya telah mula nampak khianat terhadap undi yang kita beri, cantas sahaja daripada jawatan yang disandangnya. Kita yang membayar gaji mereka, sebenarnya merekalah kuli. 

    Pemimpin yang bermulut manis, yang menanam tebu di pinggir bibir... tidak layak memegang tampuk kuasa. Apatah lagi yang hanya goyang kaki, sedangkan poket sentiasa penuh. Kita di bawah tetap sengsara dan menderita. 

    Jangan hanya dek kerana RM50 di pintu dewan mengundi, pangkah kita beralih kepada pemancing yang menanti untuk membaham mangsanya. Belajarlah untuk jadi cerdik. Jangan kita setiap 5 tahun diperbodohkan. RM50 itu tidak dapat bertahan selama 5 tahun. Tak berbaloi pun untuk menanti 5 tahun akan datang pula. Berfikirlah dengan mata hati... bukan dengan mata duitan!!!

    Berhati-hati memilih kerana jari yang memangkah itu akan dipersoal nanti di akhirat. Apa yang akan kita jawab nanti sekiranya kita memilih pemimpin yang zalim. Zalim terhadap rakyatnya, terhadap negara dan terhadap agamanya. Berlaku adil itu mesti kena pada tempatnya. Adillah kita dalam meletakkan pemimpin itu kena pada tempatnya. Jika salah membuat pilihan, anak cucu kita yang bakal menanggung akibatnya. 

    Jangan nanti kita dipersalahkan kerana salah membuat pilihan.



Ahad, 19 Jun 2022

SELAMAT TINGGAL SAUDARAKU

 

PERJALANAN terakhirmu di sini. Beramai-ramai kami menghantarmu ke taman ini. Di sinilah persinggahan sementara sebelum menuju negeri abadi. Kami juga akan menyusul, cuma waktu dan tempatnya tidak kami ketahui.

    Mengenalimu penghujung 2018 yang lalu. Kita diikat dengan gelaran 'besan'. Alhamdulillah ... bertambah lagi ahli keluarga kita. Legasi Tok Bedah itu makin besar, sejajar dengan bertambahnya ahli keluarga baharu menerusi ikatan pernikahan.

    Walaupun bagi kami di sini, ianya baharu sahaja bermula dengan bertambahnya seorang menantu... kemesraan antara keluarga kita makin terasa. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Wardah dan Fatih. Syukur Alhamdulillah.

    Namun perkhabaran duka yang diterima pada 13 Jun sedikit membimbangkan. Galau hatiku tatkala membaca aksara yang menerjah masuk telefon bimbit. Bertalu-talu. Setelah ditahan di wad, diberi bantuan pernafasan, juga antibiotik....keadaan tidak banyak berubah. Kemudiannya pada keesokan hari, dikejarkan ke GH di pulau. Allahurobbi... tiada kata yang dapat aku ungkapkan. Sekadar doa mohon kesembuhan dipanjatkan kepada Yang Maha Esa.

    Menanti khabar dalam debar. Serentak itu dalam kalangan ahli keluarga ada yang diuji dengan kesihatan yang sedikit terganggu. Maklumlah, akibat kurang tidur atau tidak lenanya tidur kerana bersengkang mata berjaga. Ditambah dengan penat perjalanan dan juga jadual biasa yang sedikit berubah... Pendek kata semua diburu kerisauan. 

    16 Jun 2022... kami menerima segalanya dengan reda. Telah sampai masanya untuk kami berpisah dengan yang dikasihi, Puan Arbai'yah. Terasa pantas masa berlalu. Pertemuan kita dalam bulan Syawal yang lalu terasa masih terbayang-bayang di ruang mata. Tiap kali kami menjejak kaki ke teratak kalian, pasti ceria menyambut kami. 

    Kemesraan yang terjalin, jelas di mata. Ruang masa diisi dengan rancak bicara. Dialek utara pasti menceriakan suasana. Kenangan yang sukar untuk dilupakan. Selepas ini wajah wanita yang selalu menanti kami itu tidak akan ada lagi. 

    Sesungguhnya dari Allah dia datang dan kepada Allah dia kembali. Sempat mengenalimu hanya sekitar tiga tahun setengah sahaja. Semoga Allah menempatkanmu dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 
Bersama kita di dunia, mudah-mudahan bersama jua kita di sana nanti. 

    Kepada Encik Hashim serta anakanda Wazirah, Along, Angah, Ida, Iera dan Jiha... moga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi hidup baru tanpa bonda di sisi. Yang pergi tetap akan pergi. Kehidupan mesti diteruskan.

    Detik-detik indah akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Pasti akan ada air mata yang tumpah tatkala mengingati saat-saat bersama. Lebih-lebih lagi tatkala menatap fotonya nanti. Bersyukurlah dengan nikmat yang dianugerahkan selama ini. Penat lelahnya telah terbayar dengan di kelilingi tawa ceria anak cucu. Kini tiba masanya untuk kita sama-sama menghadiahkan rangkaian doa buatnya.

    Terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan wanita ini. Dalam kesempatan yang ada, memberi nikmat bonda mentua buat anakandaku Firdaus. Walaupun dirimu sudah meninggalkan kami, namun gelaran 'mama' itu kurasakan pasti akan tetap meniti dari bibir ke bibir anak-anak yang menyayangimu sepenuh hati mereka. Walaupun tanpa kau di sisi, namamu tetap abadi di sanubari.

    


 Pokok kuini di bangsal kuda,
    Menimpa atap lantun ke hutan;
 Jasadmu kini telah tiada,
    Budimu tetap dalam ingatan.
    

    
 Asyik alunkan nasyid pusaka,
    Hati terkenang ustaz ustazah;
 Kami doakan tiap ketika,
    Moga tenang di taman barzakh.

    





(kredit foto from my dear Wazirah Hashim)

Selasa, 14 Jun 2022

TAHNIAH AYAH!


TATKALA meneliti hadiah yang ayah dapat suatu masa dahulu, terkandung rasa bangga dan syukur di benakku. Alhamdulillah.

Aku tidak tahu apakah jawatan yang ayah sandang ketika itu. Apa yang aku tahu, ayah selalu keluar untuk bermesyuarat bersama kawan-kawannya yang terdiri daripada berbilang bangsa. Waktu itu aku perhatikan wajah-wajah satu Malaysia.

Nama yang masih terpahat kukuh dalam ingatanku ialah Uncle Veloo, Uncle Kok Hoi dan Pak cik Mansor, Selebihnya ramai lagi, sayangnya aku tidak mengenali nama-nama mereka. 

Kinta Kellas Tin... nama ini membayangkan tentang bijih timah. 'Tin' yang dimaksudkan bukanlah tin susu, tin milo, tin biskut atau tin sardin. Mungkin itulah kebarangkalian tekaan yang bersarang di minda anak-anak zaman sekarang. Jauh meleset.

Aku yang dibesarkan di kawasan Lembah Kinta, cukup mengenali sejarah perlombongan bijih timah. Sementelah ayah bekerja sebagai kepala lombong di Kampung Pisang, Batu Gajah. Sebelum itu ayah bekerja di Batu Karang, Kampar.

Melihat kepada peuter yang ayah terima ini, baru aku menyedari bahawa lama benar ayah memegang jawatan tersebut. Hebatnya ayah menggalas amanah yang diberi. Bergerak atas keyakinan diri serta sokongan ahli, menjadikan sumbangan dan pengorbanan ayah dihargai. Lantang ayah bersuara demi membawa mesej dalam memperjuangkan nasib pekerja lombong.

Sejak usiaku tiga tahun sehingga 15 tahun ayah tidak berganjak daripada jawatan tersebut. Begitulah kepercayaan yang diberi oleh mereka kepada ayah. Siapa pula yang menggantikan tempat ayah selepas itu, aku tidak tahu. Apa yang pasti, ayah sudah tidak bekerja di lombong bijih timah itu setelah memilih untuk berniaga.

Kemampuan ayah dalam berbahas dan berpidato telah ayah manfaatkan semasa memegang jawatan pengerusi tersebut. Kecekapan ayah dalam ilmu hisab atau kira-kira telah memancing hatinya untuk meneruskan perniagaan. Ayah... aku belajar sesuatu darimu.