Jumaat, 23 Disember 2016

SKBG

Dah 50 tahun usia kita........  setengah abad.  Kita mula berkenalan di darjah satu di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah.  Tapi kelibat sekolah itu sedikit pun sudah tidak ada lagi di pekan Batu Gajah.  Hanya bangunan baru SK TIWA (Toh Indera Wangsa Ahmad) yang menggantikannya.  Memang aku perasan........  tidak ada sekelumit langsung bangunan lama yang tinggal.  Sedikit rasa kesal bertenggek di hatiku.

Yang ada cuma bangunan batu bertingkat gah berdiri.  Sudahlah bangunan lama kini tiada.  Malah namanya pun turut ditukar!  Cuma beberapa naskhah majalah lama SKBG masih tersisip di antara celahan majalah yang ada di rak buku di rumahku menjadi bukti sejarah sekolah rendahku.

Di situ aku mengenali kawan-kawan sepermainan.  Mereka yang sama-sama mewarnai kehidupan dalam usia tujuh hingga dua belas tahun itu.  Belajar di bangunan bertangga, berlantaikan papan.  Di bahagian bawah pula ada stor alatan sukan dan bilik muzik.

Dan sebahagian lain pula bahagian bawahnya hanya ruang kosong yang agak rendah, tidak dapat kami bolosi.  Keunikan bangunan tersebut masih kuingat lagi.  Bunyi derapan sepatu kami jelas kedengaran tatkala menapak tangga lagi.  Jikalau berambat di dalam kelas, makin jelas bunyinya.  

Kita sama-sama bermain teng-teng, galah panjang dan jengkit kejar....... ceria terbayang di wajah masing-masing.  Beberapa batang pokok ketapang menjulang tinggi menambah redup laman sekolah kami.  Di situlah tempat kita menanti ayah atau ibu yang datang menjemput bila tiba tengah hari.

Makanan di kantin berbaloi harganya.  Cukup kenyang terasa walaupun hanya beberapa sen nilainya.  Dan aku tetap menabung setiap hari dengan syiling yang berbaki.  Kekadang ibu menyediakan bekal untuk kubawa, namun wang poket tetap kuterima.

Cikgu-cikgu kami ramai yang vateran.  Masih kuingat lagi pada Cikgu Shaharbanun, guru kelas yang agak garang.  Cikgu Rosli yang mengajar kami seni lukis dan senaman atau pendidikan jasmani.  Ustaz Alias, guru agama kami.  Cikgu Sofiah yang mengajar aku semasa di darjah satu.  Cikgu Ibrahim guru Bahasa Inggeris.  

Guru-guru lain yang masih dalam ingatanku.......Cikgu Yang, Cikgu Fatimah Zahra, Cikgu Zul, Cikgu Emi dan Cikgu Ema.  Manakala guru besar yang kuingat pula ialah Cikgu Othman dan Cikgu Ashar.  Yang selebihnya kuingat wajah, tapi nama tak ingat pula.  Kepada semua guru SKBG yang pernah mendidik kami, kuungkapkan jutaan terima kasih.  Takkan terbalas jasa kalian.  Semoga Allah memberkati hidupmu, cikgu.  Dan kiranya engkau telah tiada, kami hadiahkan Al Fatihah buatmu.

Kami pernah merasa bersekolah di Sekolah Cawangan suatu ketika dulu.  Rasanya kami belajar di situ semasa di darjah tiga dan empat.  Agak jauh sedikit lokasinya ke belakang.  Tak silap aku, berdekatan dengan Kampung Dobi.  Bangunan papan bertingkat.  Dan ada lagi dua bangunan lain, bertiang batu besar.  Agak rendah.  Ciri-ciri unik sedemikian agak sukar dilihat dewasa ini. Padang sekolah pula kawasannya agak tinggi dan terdapat beberapa anak tangga untuk naik ke atas. Dan Sekolah Cawangan itu kini dijadikan setor MDKB.  

Bila ada program utama di SKBG, kami akan berjalan beramai-ramai dari Sekolah Cawangan diiringi guru-guru menuju sekolah utama sambil melewati beberapa buah rumah kampung dan taman perumahan.  Kami akan memberi laluan kepada kenderaan yang turut berkongsi laluan yang sama menuju ke destinasi mereka.  

Semasa di bangku sekolah rendah, aku turut terpilih sebagai wakil sekolah dalam pertandingan nasyid, tarian asli dan badminton.  Selebihnya aku menyertai persembahan nyanyian dan syair terutama bila tibanya Hari Penyampaian Hadiah di hujung tahun.  Cuma di bidang sukan sahaja aku tidak menyerlah.  Semasa latihan rumah sukan, aku turut hadir.  Namun tidak terpilih.  Kawan-kawanku yang lain lebih hebat di bidang tersebut.

Enam tahun bersama di SKBG....... bagai bertahun lamanya kurasakan.  Dan kini di kala usia di angka lima puluhan..... kenangan manis itu tetap segar di ingatan.  Malah kembali segar pabila aku bertemu mereka kembali di laman facebook.  Dan sebahagian kecil pula bertemu di "WhatsApp".

Buat sahabat lama yang dikasihi, masih bersama tika ini...... terima kasih atas huluran salam yang bersambut.  Kita tautkan kembali saat manis itu, walaupun dalam situasi yang berbeda dari dulu.  Semoga bahagia di samping keluarga tercinta..

(Dilah Othman, Dila Pok Abdul Aziz, Norasiah Kidah, Zawiyah, Haziyah Yusof, Nora Wahid, Nor Akmar Tahir, Mahmuzah Abdul Salam, Noraini,  Zainab Sukor, Hazurah Salleh, Rahmah Ismail, Norliza Azmi, Rosnah Yusof dan Sarina Rahi) 










Tiada ulasan: