Buat pertama kalinya aku berkongsi rasa di program itu. Selama ini aku turut mengikuti perkhabaran tentang cerita-cerita suram..... yang mengundang kesedihan, keperitan dan kepayahan kehidupan nelayan.
Dan hari itu aku sendiri merasai erti perjuangan itu. Benarlah pepatah mengatakan bahawa.... tak kenal maka tak cinta.....
Untuk menyelami perasaan mereka yang bergelar nelayan...... belajarlah erti kesusahan bersama mereka. Cuba menadah telinga mendengar keluhan dan rintihan. Jika ingin lebih merasai dan empati..... duduklah bersama mereka. Melihat dengan mata kepala sendiri permasalahan yang ditelan sekian lama.
Bukan mereka menolak pembangunan, bukan juga menentang perancangan. Tapi biarlah pembangunan itu tambah memudahkan mereka, paling tidak pun..... kesannya nanti tidak menambah sukar kehidupan mereka.
Apabila sidang media diadakan, diwar-warkan untuk dilaksanakan..... sambutlah dengan hati terbuka. Yang kelihatan cuma badan NGO. Yang berjuang bermati-matian. Sanggup berdiri bersama mereka, bersuara menyokong mereka. Terkehadapan membela nasib mereka.......
Pepasir pantai yang memutih sejak berzaman entah ke mana perginya. Yang tinggal kini sesetengahnya disaluti lelumpur gelap ...... dan kaki-kaki yang berlari-lari di situ dahulu, kini jarang mahu menginjak tepian pantai. Keindahannya telah beransur hilang!!! Begitulah yang dikhabarkan....
Setelah laut ditambak berdekatan dengan tempat tinggal mereka, hidupan laut makin menjauh. Nelayan agak sukar untuk menambat bot akibat air yang cetek. Maka mahu tidak mahu terpaksalah mengambil jalan jauh untuk ke laut. Sedangkan lori-lori yang berulang alik mengangkut tanah dan batu bertali arus di atas tambakan tersebut. Barangkali mengharapkan agar kerja-kerja dapat disegerakan.
Dalam perjanjian awal, hanya separuh sahaja tambakan yang akan dibina. Namun apa yang kelihatan, ia telah jauh melebihi apa yang dijanjikan.... Mataku merenung sayu memerhati segala-galanya tatkala duduk-duduk di situ. Rancaknya pembangunan....
Tatkala bermula sidang media itu, aku mengambil peluang mendengar biji butir perbincangan dan soalan yang diketengahkan. Memang wajarlah mereka menentang dan bersatu hati memohon pembinaan tersebut dihentikan serta-merta kerana beberapa risiko yang bakal menimpa.
Bukan setakat nelayan sahaja yang hadir petang itu, terdapat badan-badan NGO berdiri sebaris bersama mereka. Namun aku tidak dapat bersama hingga ke penghujung program. Kami melangkah pulang dengan seberkas harapan, mengharap agar para nelayan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Berharap agar mereka tidak diperkotak katikkan oleh insan yang berkuasa....... yang menganggap bahawa wang adalah segala-galanya.
Demi kelangsungan hidup nelayan dan generasinya, dan demi menyelamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh....... sama-samalah kita berganding bahu dalam usaha murni ini.
Bakal hilangkah pantai warisan ini .....
Tika sang penguasa berkira-kira mahu mengkomesialkannya
Demi mengisi kantung sendiri yang seakan tidak pernah penuh
Juga tembolok yang tidak pernah kenyang-kenyang
Bakal ghaibkah pantai warisan ini.....
Yang telah berzaman mewarnai kehidupan para nelayan
Dengan keindahan pepasir nan memutih
Kekayaan khazanah hidupan lautnya
Pantai Warisan Teluk Muroh,
..... kami sedia bangun bersamamu
..... mempertahankan hak yang sekian lama tersimpan
..... agar engkau tidak lagi menangis
diratah rakus mereka yang hilang nilai kemanusiaan
13122016 lekir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan