Rabu, 3 Ogos 2022

SALAM TAHNIAH!

TERIMA kasih atas jemputan walimatul 'urus buat Kak Nyah dan Abang Shukor. Tiga hari berturut-turut bersua bermula dengan majlis akad nikahnya, diikuti dengan menghantar ke majlis kenduri di pihak pengantin perempuan dan yang terakhir kenduri di sebelah anakanda Syafiq.

    Alhamdulillah ... rezeki bersua bonda tercinta, ipar duai, anakanda sepupu sepapat serta saudara-mara jauh dan dekat. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan. Kelihatan ramai saudara-mara dari Kelantan turut hadir bagi memeriahkan majlis. Dapat bersua demi merapatkan ukhuwah dengan keluarga di Perak. Syukur dipanjatkan.

    Bukan mudah untuk berkumpul bersama-sama, lebih-lebih lagi masing-masing tinggal berjauhan. Namun perancangan yang dibuat awal dan segala persediaan yang tersusun serta ketentuan Ilahi mengatasi segala-galanya. Alhamdulillah majlis berjalan lancar.

    Paling menggembirakan ialah dapat berkumpul adik-beradik sebelah suamiku. Bertemu semua anak buah atau anak saudara yang semakin menginjak dewasa dan ada yang sudah berumah tangga. Kian bertambah ahli keluarga. Bersua di dalam majlis meraikan pengantin. 

    Saat-saat beginilah menautkan ikatan persaudaraan, bak pepatah 'tak kenal maka tak cinta'. Justeru kehadiran sanak saudara amat diharapkan. Di saat itulah kita saling mengenali antara satu sama lain. Mengenali pangkat tanda hormat kepada semua.

    


  

  Tahniah buat Kak Nyah dan Abang Shukor, beroleh menantu sulung. Mudah-mudahan ukhuwah bertaut antara dua buah keluarga. Taiping dan Ipoh bukanlah jauh lokasinya. Barangkali nanti tidak sukar untuk balik beraya, apabila tiba saatnya nanti. Jika ada rezeki, kami yang lain pun boleh berkunjung sama.

    Kami mendoakan buat pasangan pengantin moga bahagia hingga ke jannah. 

Tiada ulasan: