Jumaat, 5 Ogos 2022

PASAR KHAMIS, KG KOH

 SESEKALI kami ke pasar Khamis, lokasinya di Kampung Koh. Kejadian semalam sedikit menggembirakan hati. Ramai kenalan yang kami temui ketika bersarapan di Kedai Mat Senyum. Semuanya tanpa dijangka.

    Awalnya kami bermotosikal sahaja dalam redup mendung pagi. Hati sedikit bimbang andaikata terperangkap dalam kehujanan. Namun syukur alhamdulillah, mendungnya sampai ke tengah hari.

    Ketika masuk ke kedai makan tersebut, kami telah ditegur oleh jiran lama. Pasangan suami isteri tersebut mengambil keputusan untuk tidak membuka gerainya kerana hujan. Rupa-rupanya hujan telah turun awal pagi di kawasan pekan tersebut. Patutlah banyak lopak air kelihatan di sini sana. Sempat berbual sekejap bertanya khabar keluarganya. 

    Rupa-rupanya pasangan tersebut berniaga di pasar malam atau pekan sehari. Cuti mereka pada hari Isnin hingga Rabu. Mereka merupakan jiran kami di Kampung Serdang suatu ketika dahulu. Seorang anak perempuannya merupakan kawan kepada saudaraku semasa menuntut di universiti. Ika namanya. 

    Di meja hadapan kelihatan seorang pak cik yang sedia kukenali, namun lupa pula siapa namanya. Kerap kali juga kami bertembung. Cucunya pernah bersekolah di SKL. Seelok-elok aku ingin melabuh punggung di kerusi sebelah suami, aku diminta menoleh ke belakang. 

    Allah... Puan Maimun dan suami rupa-rupanya. Jiran sama tempat tinggal dengan kami. Kami bersalaman. Tiba-tiba mataku bertentang pula dengan pasangan ibu bersama anak gadisnya di meja bersebelahan. Bekas anak muridku di SK Lekir dahulu. Mereka sedang menunggu pesanan nampaknya. Eh, ramai pula yang kukenal kelihatan di kedai makan Mat Senyum itu.

    Sambil menunggu pesanan, sempatlah kami berborak seketika. Anak muridku itu sedikit istimewa kerana tidak pernah makan nasi dan sayur. Dia merupakan lepasan Politeknik di Jitra, Kedah. Sedang menunggu peluang pekerjaan menurut ibunya. Rancak juga kami bersembang. Sempat kami mengungkap kisah lama.

    Di meja berdekatan kaunter kelihatan pula Pak Salleh, penjual kuih. Kedikit uzur nampaknya. Pandangan matanya terjejas akibat kemalangan jalan raya tempoh hari. Mudah-mudahan beliau bersama isterinya sentiasa diberi kesihatan yang baik. Beberapa orang anaknya juga merupakan bekas muridku di SKL juga.

    Secara diam-diam rupa-rupanya suamiku telah membuat pembayaran untuk beberapa orang yang sama-sama makan di kedai tersebut sebelum aku selesai makan. Alhamdulillah, mudah-mudahan murah rezekinya. Ada sedikit rezeki, kami kongsi bersama.


 Pekan Kg Koh, pekan kecil di mana Chin Peng dilahirkan


Tiada ulasan: