Rabu, 3 Ogos 2022

TAK DAPAT DIPISAHKAN

 

DI DALAM buku ini terkandung karya berupa kenangan silamku terhadap guru badmintonku yang pertama dan seorang lagi iaitu guru yang terakhir. Kisah murabbi sukan kegemaranku boleh dinikmati pembaca sekiranya sudi membeli buku ini.

    Saat dan ketika ini juga wakil negara untuk permainan ini telah memperoleh pingat emas. Namun aku lebih teruja ketika menonton siaran langsungnya tengah malam tadi. Usai menamatkan pembetulan hasil karyaku, bersegera aku menutup komputer riba.  Dalam samar-samar itu, aku menjengah along di hadapan yelevisyen. Masih ada nampaknya. Ayahnya telah lama lena kerana keletihan berjalan jauh.

    Kelihatan perseorangan wanita sedang berentap. Sedikit resah di hati kerana kelihatan kemenangan di pihak India kian nyata. Namun sebelum itu beregu lelaki negara telah menang bergaya. Sekejap-sekejap aku ke berlalu ke bilik, menyelesaikan sedikit lagi tugas di dalam bilik tersebut. Keluar masuk, keluar masuk, akhirnya aku mendapati perseorangan wanita belum mampu lagi menewaskan Pusarla.

    Perseorangan lelaki pemain muda yang berasal Johor kemudiannya tampil dengan permainan yang nampak bersahaja, bertemu Kidambi. Agak cemas juga di permulaan, bukan calang-calang orang yang berhadapan dengannya. Sayangnya aku sibuk menyambil membaca buku yang baru kuterima daripada sahabat maya. Sesekali mataku tertancap ke kaca TV. Ada ketikanya melebihkan pula pada pembacaan. Apa tidaknya, kisah yang diutarakan begitu menarik jalan bahasanya. 

    Sambil membaca, aku mendapat sesuatu yang berharga. Perseorangan lelaki negara akhirnya menang setelah berhempas pulas di tengah gelanggang. Tiga permainan telah berlalu. Ini disusuli pula dengan beregu wanita, menampilkan pasangan Tinaah dan Perly. Pasangan yang sedikit menggusarkan hatiku. Telah banyak kali aku menyaksikan pertemuan pasangan ini dengan lawan mereka. 

    Set pertama kudapati rentaknya kurang meyakinkan. Namun setelah mereka dapat menjarakkan sedikit mata, hati rasa sedikit teruja. Namun tiba-tiba..... skrin televisyen menjadi gelap. Senyap. Lebih lima minit aku menunggu. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Hampa rasanya. Kedudukan sudah mencapai 2 - 1. Mampukah Malaysia menjuarai emas?

    Emm.... keputusannya hanya kuperoleh awal pagi menerusi telafon pintar yang kujenguk sebaik-baik terjaga. Malaysia menang dengan berkeputusan 3 - 1. Oh... sudah pastilah beregu wanita berjaya akhirnya. Syukur alhamdulillah. Sebutir emas berjaya disumbangkan oleh pasukan badminton negara.

    AKU DAN BADMINTON, BERPISAH TIADA...

Tiada ulasan: