Selasa, 23 Ogos 2022

PESANAN BONDA


    MERENUNG foto anak-anak ini... makin terkenang hari-hari mendatang. Inilah pelapis yang akan ditinggalkan nanti. Inilah juga pemimpin satu hari nanti, insya-Allah. Namun ingin dinyatakan bahawa tanah tumpah darah kita tidak seperti dahulu, sayang...

    Dahulu... amat jauh bezanya. Zaman umi dan abi di era 60-an dan 70-an telah berlalu. Betapa manisnya waktu itu untuk dikenang. Meriahnya zaman persekolahan, tanpa rasa tertekan. Masih sempat bermasyarakat dengan bersama-sama menyertai permainan kampung. Sesekali ikut program bergotong-royong. 

    Konda-kondi, galah panjang, jengkit kejar, pondok-pondok, cikgu-cikgu, batu seremban, perang-perang, masak-masak. congkak, tuju selipar ...... ah, indah sekali. Permainan yang kian lenyap nampaknya. Berjalan kaki beramai-ramai ke sekolah waktu pagi dan mengaji di madrasah pula sebelah petangnya, Sepanjang jalan seronok mendengar celoteh kawan-kawan. Bahagia tak terucap.

    Walaupun kalian telah mencecah remaja, detik-detik indah seperti kami tidak sempat dinikmati sepenuhnya. Kesibukan mengejar masa dalam hempas pulas menadah ilmu menjadikan kalian terpinggir daripada itu semua. Waktu jadi terlalu singkat, siangnya dipenuhi dengan belajar, belajar, belajar dan terus belajar manakala malamnya dihabisi dengan menyudahkan kerja sekolah. Dari sekolah rendah berinsut ke menengah. Kemudian ke kolej atau universiti. Tidak habis-habis menuntut ilmu.

      Ditambah lagi dengan gajet yang ada... makin jauh dari dunia masyarakat yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Sekadar berbicara menerusi telefon pintar, rasa-rasanya makin menjauh jarak kalian dalam perbincangan dan perdebatan yang asli. Pandangan hanya diberi melalui aplikasi whatsapp, disulami dengan instagram. Komunikasi secara bersemuka jarang sangat kelihatan. Kekadang untuk berhadapan dengan ahli keluarga pun, adakalanya menerusi mesej sahaja andaikata tidak kelihatan dari pandangan.

    Sesetengahnya memilih untuk belajar kemahiran. Teruskanlah... menuntut ilmu itu bermanfaat buat kita. Orang berilmu dipandang mulia. Kita sebenarnya saling lengkap-melengkapi. Pelbagai bidang kerja menanti di luar sana. Sekiranya minat berniaga, ikutilah jalan Rasulullah itu. Barangkali juga minat bercucuk tanam dan menternak, tiada sesiapa yang memandang lekeh pilihan tersebut. Kerja yang baik dan halal, dipersilakan untuk dipilih.

    Namun, bergantung haraplah sepenuhnya kepada Yang Maha Esa. Sandarkan harapan dan doa kepada-Nya. Mohonlah agar diri tetap kuat walau ombak di perjalanan hidup ini amat menggila. Jangan mudah berputus asa dari rahmat Allah. Di sebalik ujian itu, ada hikmah yang mungkin sedang menunggu. Semoga kalian tabah, kuat dan sabar dalam mendepani cabaran. Jaga hubungan dengan Allah, jaga hubungan dengan manusia. Moga bahagia menanti di dunia jua di akhirat.



    

    

Tiada ulasan: