Jumaat, 12 Ogos 2022

AKU KEHILANGAN KATA-KATA

9 OGOS 2022 ... 

    ITULAH tarikh pemergian sahabat sepenulisan....Cikgu Rosli Samot. Aku terkesima. Hilang kata-kata. Empat hari sebelum itu aku dan Kak Lang ada bertemu dengannya untuk bertukar-tukar buku. Khabar yang diperoleh dalam group Gemeresik Suara Merdeka itu benar-benar menjadikan aku terkedu. Terima kasih Nisa kerana memaklumkan kepada kami semua.
    Segera aku menghubungi Kak Zan untuk mengesahkan perkara tersebut. Rupa-rupanya Kak Zan lebih dahulu telah mengetahuinya. Kesedihan Kak Zan mungkin lebih daripadaku kerana beliau merupakan rakan sekerja semasa almarhum berkhidmat di SMK Bt 10. Kak Zan mendapat khabar terus daripada isteri almarhum, lebih awal lagi. 

    Berbeza pula denganku... aku mengenali almarhum sebagai rakan penulis yang kadang-kadang berada dalam group penulisan yang sama bermula dengan Gemeresik Suara Merdeka. Pernah berada dalam buku yang sama di bawah projek KISMy dengan penyelenggaranya Pn Ku Sunira Ku Johari. Almarhum juga merupakan guru kepada anak bongsuku sebelum bertukar ke SMK Ambrose, Ayer Tawar. 

    Mengenali almarhum membuatkan aku terasa hebatnya guru ini. Walaupun sibuk dengan jadual sekolah, masih ada ruang waktu untuk menulis. Pencapaian berkaitan aktiviti bahasa yang amat membanggakan dengan pelbagai anugerah. Aku mengungkapkan tahniah dalam diam. 


    Aku menatap semula kata-kata terakhir yang masih belum kupadam dalam aplikasi whatsapp. 
'Terima kasih kak, sudi baca karya saya yang tak seberapa'.  Dalam hatiku menidakkan perkara tersebut. Merendah diri sungguh, sedangkan gaya penulisan almarhum memang patut dipuji. 

    Masih teringat karya almarhum di dalam buku Unsung Hero, bersama penyelenggara Dr Sa'adiah Shuib. Hingga kini aku masih ingat jalan cerita serta gaya bahasanya yang sungguh menarik.

    Sebenarnya sebelum ini, di dalam aplikasi whatsapp ada dimaklumkan bahawa dirinya kurang sihat namun sudi datang ke rumahku hujung minggu nanti untuk menghantar buku-buku yang dijanjikan. Aku menolaknya dengan baik dan berjanji akan datang sendiri ke rumahnya untuk saling bertukar-tukar buku.

    Kami bertemu sekadar di pintu pagar pada 5 Ogos 2022 lalu. Bila dikenang-kenang tarikh keramat tersebut, hatiku makin sebak. Pada keesokannya kami masih lagi berbalas whatsapp. Aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan berharap agar dirinya berjaya menjadi pengetua yang cemerlang.

    'Insya-Allah.... doakan saya kak.' Inilah jawapan balas almarhum. Kurenung tujuh buah buku antologi yang terkandung karya almarhum, dua daripadanya telah kuhadam. Mudah-mudahan hasil tangan almarhum menjadi ibrah buat pembaca. 

    Salam takziah telah awal-awal kukirim kepada Dr Mashita melalui sahabatku Cikgu Fadzilah yang hadir menziarahinya di hari pemergian suaminya. Aku tidak dapat bersama pada hari berkenaan kerana ada urusan di Teluk Intan.

    Sesungguhnya daripada Allah dia datang, dan kepada Allah dia kembali. Semoga Cikgu Rosli Samot tenang di taman barzakh, termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Moga pahala dalam mendidik anak-anak dan penulisannya berpanjangan hingga ke jannah.

    Hilangnya sebutir permata, Guru Ikon Bahasa dan Seni Budaya Negeri Perak.




foto 1 & 2 -
 kredit to Nisa & CMK

1 ulasan:

jabatan pengurusan kurikulum dan kokurikulum berkata...

Saya juga turut berasa sedih atas pemergian Allahyarham. Tidak ada kata dapat saya ungkapkan.