Rabu, 31 Ogos 2022
MERDEKAKAH KITA?
Jumaat, 26 Ogos 2022
PUISI POLITIK
BILA YB DIPALU KOMPANG... menarik bunyinya!
BEGITULAH tajuk buku antologi puisi yang baru kuterima petang semalam. Aku pada mulanya sekadar suka-suka menyertai antologi puisi tersebut. Hati teringin sangat menulisnya. Kebiasaannya kami sering diperingatkan dalam peraturan bahawa menulis tidak menyentuh mana-mana agama dan politik. Namun kali ini sebaliknya... kami dipersilakan menulis puisi politik. Teruja pula!
Apa lagi... bersilatlah aku meluahkan apa yang terbuku di hati. Sesungguhnya penyelenggara membuka pintu dan peluang bagi kami yang menulis untuk mengukir bait kata-kata. Apapun pandangan penulis, diraikan bersama. Luahan rasa dan isi hati yang terpendam diperindahkan lenggoknya.
Ramai juga nama-nama besar dalam dunia sastera berada dalam buku ini. Aku sekadar penulis kerdil terselit dicelahnya. Asyik benar aku menghadam naskhah antologi puisi politik ini.... Siapa kata orang sastera tenggelam dengan permainan kata-katanya? Mereka juga ada hak, perasaan dan pilihan. Segalanya tersimpan dan terbenam, sesekali mengalir di ujung pena.
Selasa, 23 Ogos 2022
PESANAN BONDA
MERENUNG foto anak-anak ini... makin terkenang hari-hari mendatang. Inilah pelapis yang akan ditinggalkan nanti. Inilah juga pemimpin satu hari nanti, insya-Allah. Namun ingin dinyatakan bahawa tanah tumpah darah kita tidak seperti dahulu, sayang...
Jumaat, 12 Ogos 2022
AKU KEHILANGAN KATA-KATA
Segera aku menghubungi Kak Zan untuk mengesahkan perkara tersebut. Rupa-rupanya Kak Zan lebih dahulu telah mengetahuinya. Kesedihan Kak Zan mungkin lebih daripadaku kerana beliau merupakan rakan sekerja semasa almarhum berkhidmat di SMK Bt 10. Kak Zan mendapat khabar terus daripada isteri almarhum, lebih awal lagi.
Jumaat, 5 Ogos 2022
PASAR KHAMIS, KG KOH
SESEKALI kami ke pasar Khamis, lokasinya di Kampung Koh. Kejadian semalam sedikit menggembirakan hati. Ramai kenalan yang kami temui ketika bersarapan di Kedai Mat Senyum. Semuanya tanpa dijangka.
Awalnya kami bermotosikal sahaja dalam redup mendung pagi. Hati sedikit bimbang andaikata terperangkap dalam kehujanan. Namun syukur alhamdulillah, mendungnya sampai ke tengah hari.
Ketika masuk ke kedai makan tersebut, kami telah ditegur oleh jiran lama. Pasangan suami isteri tersebut mengambil keputusan untuk tidak membuka gerainya kerana hujan. Rupa-rupanya hujan telah turun awal pagi di kawasan pekan tersebut. Patutlah banyak lopak air kelihatan di sini sana. Sempat berbual sekejap bertanya khabar keluarganya.
Rupa-rupanya pasangan tersebut berniaga di pasar malam atau pekan sehari. Cuti mereka pada hari Isnin hingga Rabu. Mereka merupakan jiran kami di Kampung Serdang suatu ketika dahulu. Seorang anak perempuannya merupakan kawan kepada saudaraku semasa menuntut di universiti. Ika namanya.
Di meja hadapan kelihatan seorang pak cik yang sedia kukenali, namun lupa pula siapa namanya. Kerap kali juga kami bertembung. Cucunya pernah bersekolah di SKL. Seelok-elok aku ingin melabuh punggung di kerusi sebelah suami, aku diminta menoleh ke belakang.
Allah... Puan Maimun dan suami rupa-rupanya. Jiran sama tempat tinggal dengan kami. Kami bersalaman. Tiba-tiba mataku bertentang pula dengan pasangan ibu bersama anak gadisnya di meja bersebelahan. Bekas anak muridku di SK Lekir dahulu. Mereka sedang menunggu pesanan nampaknya. Eh, ramai pula yang kukenal kelihatan di kedai makan Mat Senyum itu.
Sambil menunggu pesanan, sempatlah kami berborak seketika. Anak muridku itu sedikit istimewa kerana tidak pernah makan nasi dan sayur. Dia merupakan lepasan Politeknik di Jitra, Kedah. Sedang menunggu peluang pekerjaan menurut ibunya. Rancak juga kami bersembang. Sempat kami mengungkap kisah lama.
Di meja berdekatan kaunter kelihatan pula Pak Salleh, penjual kuih. Kedikit uzur nampaknya. Pandangan matanya terjejas akibat kemalangan jalan raya tempoh hari. Mudah-mudahan beliau bersama isterinya sentiasa diberi kesihatan yang baik. Beberapa orang anaknya juga merupakan bekas muridku di SKL juga.
Secara diam-diam rupa-rupanya suamiku telah membuat pembayaran untuk beberapa orang yang sama-sama makan di kedai tersebut sebelum aku selesai makan. Alhamdulillah, mudah-mudahan murah rezekinya. Ada sedikit rezeki, kami kongsi bersama.
Rabu, 3 Ogos 2022
TAK DAPAT DIPISAHKAN
DI DALAM buku ini terkandung karya berupa kenangan silamku terhadap guru badmintonku yang pertama dan seorang lagi iaitu guru yang terakhir. Kisah murabbi sukan kegemaranku boleh dinikmati pembaca sekiranya sudi membeli buku ini.
Saat dan ketika ini juga wakil negara untuk permainan ini telah memperoleh pingat emas. Namun aku lebih teruja ketika menonton siaran langsungnya tengah malam tadi. Usai menamatkan pembetulan hasil karyaku, bersegera aku menutup komputer riba. Dalam samar-samar itu, aku menjengah along di hadapan yelevisyen. Masih ada nampaknya. Ayahnya telah lama lena kerana keletihan berjalan jauh.
Kelihatan perseorangan wanita sedang berentap. Sedikit resah di hati kerana kelihatan kemenangan di pihak India kian nyata. Namun sebelum itu beregu lelaki negara telah menang bergaya. Sekejap-sekejap aku ke berlalu ke bilik, menyelesaikan sedikit lagi tugas di dalam bilik tersebut. Keluar masuk, keluar masuk, akhirnya aku mendapati perseorangan wanita belum mampu lagi menewaskan Pusarla.
Perseorangan lelaki pemain muda yang berasal Johor kemudiannya tampil dengan permainan yang nampak bersahaja, bertemu Kidambi. Agak cemas juga di permulaan, bukan calang-calang orang yang berhadapan dengannya. Sayangnya aku sibuk menyambil membaca buku yang baru kuterima daripada sahabat maya. Sesekali mataku tertancap ke kaca TV. Ada ketikanya melebihkan pula pada pembacaan. Apa tidaknya, kisah yang diutarakan begitu menarik jalan bahasanya.
Sambil membaca, aku mendapat sesuatu yang berharga. Perseorangan lelaki negara akhirnya menang setelah berhempas pulas di tengah gelanggang. Tiga permainan telah berlalu. Ini disusuli pula dengan beregu wanita, menampilkan pasangan Tinaah dan Perly. Pasangan yang sedikit menggusarkan hatiku. Telah banyak kali aku menyaksikan pertemuan pasangan ini dengan lawan mereka.
Set pertama kudapati rentaknya kurang meyakinkan. Namun setelah mereka dapat menjarakkan sedikit mata, hati rasa sedikit teruja. Namun tiba-tiba..... skrin televisyen menjadi gelap. Senyap. Lebih lima minit aku menunggu. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Hampa rasanya. Kedudukan sudah mencapai 2 - 1. Mampukah Malaysia menjuarai emas?
Emm.... keputusannya hanya kuperoleh awal pagi menerusi telafon pintar yang kujenguk sebaik-baik terjaga. Malaysia menang dengan berkeputusan 3 - 1. Oh... sudah pastilah beregu wanita berjaya akhirnya. Syukur alhamdulillah. Sebutir emas berjaya disumbangkan oleh pasukan badminton negara.
AKU DAN BADMINTON, BERPISAH TIADA...