Dalam kesibukan menanti detik waktu anak-anak warga sekolahku masuk ke dewan bagi menjawab kertas terakhir, aku dikejutkan dengan berita pemergian jiran menghadap Yang Maha Esa. Terima kasih Puan Aishah yang mengkhabarkan berita terkini jiran kita. Bila kumaklumkan kepada suamiku, ternyata beliau amat terkejut. Baru Ahad lalu kami menziarahinya di ICU. Dan sebelum itu kami menziarahi isterinya di Hospital Daerah. Malang tidak berbau. Mereka terlibat di dalam kecelakaan jalan raya.
Masih segar di ingatanku tika berbicara dengan Kak Ton. Dia ceria seperti selalu walaupun dalam keadaan patah tulang peha dan bekas lebam amat ketara di sini sana bahagian tubuh badannya...... Sedangkan suaminya terlantar nun di hospital ibu kota. Keadaan suami yang agak kritikal tidak dikhabarkan oleh sesiapapun kepadanya lantaran mengenangkan situasinya sendiri tidak mengizinkan untuk menerima khabar mendukacitakan itu. Biarlah rahsia...... kata doktor.
Kak Ton mohon disegerakan pembedahan kaki untuk dimasukkan besi, sedangkan perjanjian dengan doktor ia akan dilakukan pada hari Rabu. Padanya biarlah urusan dipercepatkan agar dia dapat segera menjenguk suaminya di hospital sana. Begitulah kasihnya Kak Ton pada pasangan hidupnya.
Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Pada hari Khamis berikutnya (hari ini)..... suami tercinta menghembuskan nafas terakhir. Pihak hospital mengambil inisiatif membawa jenazah untuk ditatap buat kali terakhir. Entah aku tidak pasti apa perasaan Kak Ton dan bagaimana penerimaannya terhadap janji Allah itu. Aku tidak ada di situ. Apa yang pasti ialah yang pergi takkan kembali. Sesungguhnya semua itu terjadi atas kehendak Yang Maha Esa juga. DariNYA kita datang, dan kepadaNYA kita akan kembali.
Selepas berjemaah Asar dan solat jenazah dilaksanakan, jenazah disemadikan di tanah perkuburan dengan disaksikan anak-anak dan saudara mara, jiran serta handai taulan. Pilu menyelubungi suasana. Teman yang pernah sehidup bersama tiada di sisi, masih menerima rawatan di hospital. Mudah-mudahan suami Kak Ton di tempatkan dalam kalangan orang mukmin dan mendapat rahmat serta keampunan Ilahi.
Dan kita........ entah bila pula......
Seusai solat Maghrib aku menerima khidmat pesanan ringkas daripada Kak Jan, rakan sekerjaku tentang kembalinya ke rahmatullah seorang lagi makhluk Allah yang bernama manusia. Allahu akbar...... tambah pilu terasa kerana kawan baikku itu pula kehilangan suami juga. Seterusnya bertalu-talu panggilan masuk bagai mengesahkan info yang kuterima. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun...... hanya itu yang terlepas dari bibirku.
Buat Kak Ton dan Kak Yang...... bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, mungkin ada sesuatu yang lebih baik yang Allah kehendaki. Dan kita bakal menyusul mereka.... cuma saat dan ketikanya tidak kita ketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan