Sepanjang Ramadhan kita berada di madrasahnya. Belajar dan mendidik diri di bulan yang mulia. Sepurnama dipenuhi dengan pelbagai pesta yang mengasyikkan. Siang hari berpuasa. Malamnya diisi dengan solat tarawih juga solat sunat yang lain. Tidak lupa juga tadabbur Al Quran. Disulami dengan qiamullail. Ditambah pula dengan bersedekah. Dihiasi lagi dengan membaca Al Quran. Diadun juga dengan memberi makan mereka yang berpuasa........Allahu Rabbi.
Tatkala Syawal munculkan diri, ada yang mengambil peluang keemasan untuk berpuasa enam hari. Dalam kesibukan menyambut Hari Raya, majlis rumah terbuka turut diadakan. Ada yang meraikan anak-anak yatim dan mereka yang miskin. Mereka yang kurang berada menjadi tetamu istimewa. Betapa pemurahnya mereka yang berkenaan. Rezeki dan nikmat Allah dikongsi bersama. Mudah-mudahan Allah menilai setiap kebaikan yang dihulur dengan penuh ikhlas.
Namun setelah berakhirnya Ramadhan dan Syawal...... mungkinkah segala bentuk pesta sedemikian akan terus mewarnai kehidupan kita? Adakah kita masih konsisten dan istiqomah dengan beramal seperti itu? Jika jawapannya ya...... alhamdulillah. Teruskan beramal walaupun sedikit. Jangan terus terhenti. Bertambah malang lagi jika sikap negatif kembali membelenggu diri kita.
Ramadhan dan Syawal kian jauh meninggalkan kita. Ada hati yang diulit pilu. Ada jiwa yang dijengah sayu. Hadirnya dinanti, pemergiannya diratapi. Selepas ini adakah kebarangkalian untuk bertemu bulan mulia itu. Entahkan dapat entahkan tidak. Hanya doa yang mampu kita panjatkan pada Yang Esa. Mudah-mudahan dipanjangkan usia dan beroleh kesihatan yang baik, justeru memungkinkan kita menemuinya untuk kesekian kalinya nanti. InsyaAllah!!!
Bagi mereka yang telah pergi meninggalkan kita sama ada dalam bulan Ramadhan atau Syawal yang baru sahaja dihabisi...... bermakna Ramadhan itu merupakan Ramadhan terakhir buat mereka. Mudah-mudahan mereka tergolong dalam golongan orang yang beriman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan