Sabtu, 15 September 2012

RAJINLAH MEMBACA

Betulkah orang kita malas membaca?  Barangkali dan kemungkinan besar jawapannya "Ya, betul."

Membaca seolah-olah bukan merupakan satu budaya masyarakat kita.  Mungkin budaya hedonisme atau sukakan hiburan menjadikan aktiviti membaca kian lenyap dari pandangan kita.  Ini semua salah siapa?   Tanpa menuding jari kepada sesiapa, kita wajar muhasabah diri dan keluarga terlebih dahulu. Di manakah kita dalam konteks membaca.....
 
Membaca bukannya satu hobi tetapi satu tuntutan dan keperluan.  Bagaimana cara kita ingin tahu tentang perkembangan dunia luar dan tentang ilmu-ilmu kalau tidak dengan membaca.  Kalau setakat menonton tayangannya atau gambarnya, ia bukan sepenuhnya menghuraikan berita yang terkandung di sebaliknya.  Malahan kadang-kadang apa yang dipertontonkan kepada kita itu ada kalanya diputarbelitkan.  Dan akhirnya kita tertipu.

Ayat pertama yang Allah turunkan jelas menunjukkan bahawa kita disuruh membaca.  Namun perlu diingat bahawa membaca juga ada hadnya.  Had atau batas yang dimaksudkan ialah membaca apa yang diredhai Allah dan disukaiNYA.  Kita adalah apa yang kita baca.  Tidak dinafikan ramai yang suka membaca.  Tapi apa yang dibaca itulah akan mencerminkan siapa kita sebenarnya.  Di luar sana pelbagai jenis bahan bacaan berlambak di pasaran.  Bacaan yang bagaimanakah pilihan kita?

Justeru buatlah pilihan yang tepat dalam memilih bahan bacaan.  Berikut merupakan antara bahan bacaan yang perlu dibaca mengikut prioriti:
1.  Al Quranul Karim - paling banyak dan paling perlu dibaca
2.  Hadis Rasulullah SAW
3.  Ilmu-ilmu asas syariah - aqidah, feqah dan akhlak
4.  Buku-buku pengkhususan ilmu / pengetahuan am
5.  Buku motivasi dan pengalaman hidup orang lain yang mempunyai 'ibrah
6.  Buku-buku tentang pendidikan anak-anak, keluarga, masyarakat dan lain-lain.
7.  Buku tentang analisis sejarah- terutama sirah Nabi dan para sahabat.
8.  Bacaan hiburan, yang tidak tersasar daripada ajaran Islam - seperti novel, sajak dan 
     sebagainya.

Bila kita malas membaca bermakna kita akan berhenti belajar.  Dan apabila kita berhenti belajar bermakna kita akan berhenti memimpin.    Oleh itu jangan berhenti membaca.  Bimbang nanti kita akan dipimpin oleh orang lain yang mungkin memimpin kita tanpa ilmu yang sewajarnya dan untuk membawa kita menuju negeri yang abadi.


Tiada ulasan: