Khamis, 27 Disember 2012

BINGKISAN BUAT AYAH.....

Seperti cuti-cuti sebelumnya, anak-anak ku bawa bertemu datuk dan nenek mereka di kampung memenuhi undangan penghujung Disember.  Sedikit kenduri doa selamat dan tahlil dibuat secara kecil-kecilan, dengan jemputan saudara dan taulan terdekat.  Kenduri yang diadakan bagi mensyukuri nikmat kesihatan yang dikurniakan Ilahi dan kenduri itu juga mengingatkan ayah kepada ramai rakan seangkatan dengannya telah menemui Yang Maha Esa.  Cuma bilakah saat ayah pula akan bertemu denganNYA nanti.  Itu kata ayah..........

Walau dalam kekalutan masa menghabisi sisa-sisa penghujung tahun, kami penuhi undangan itu.  Ayah kelihatan riang menyambut kepulangan cucu-cucunya tersayang.  Kegembiraannya jelas terbayang di balik kedutan wajahnya.  Bonda juga sedemikian walau dalam payah mengawasi batuk-batuk dan semputnya seperti biasa.  'Inhaller' sudah menjadi sahabat karib walau di mana dia berada.

Bonda tidak seperti selalu..... biasanya masakan dari air tangannya menjadi penyedap selera kami.  Dia sudah tidak berupaya menyediakan semua itu tambahan dalam kuantiti yang banyak.  Dan ayah lebih maklum akan duduk perkara sebenar, itulah sebabnya mengapa ayah memilih untuk menempah sahaja menu makan tengah hari tersebut.

Banyak tugas kukerahkan kepada anak-anak yang kian membesar.  Urusan di dapur ada Kak Alang dan Kak Uda yang membantu.  Adik dan Bang Chik menyelesaikan urusan mengemas dan menyusun kerusi meja di luar, walaupun ada ketikanya pergaduhan kecil mewarnai tugas mudah itu.  Perang saudara kekadang meletus antara kedua anak-anak kecil itu.  Manakala Bang Long dan Bang Ngah membantu menyusun atur tempat makan.  Alhamdulillah..... semuanya sudah boleh diharap.  

Bacaan doa pun ayah serahkan kepada Abang Mat, pangkat anak saudaranya yang datang dari kampung.  Sesuai dengan jawatan Abang Mat sebagai salah seorang imam di kampungnya, bacaan doanya begitu jelas.  Dan doa terakhir ayah sudahi dengan nada suara yang rendah, hampir tidak kedengaran.  Kami yang hadir hanya mengaminkannya.

Kami berpeluang bertemu teman rapat ayah yang hanya beberapa orang sahaja yang dapat menghadirkan diri.  Peringkat tua ramai yang telah pergi meninggalkan dunia fana ini, dan pada mereka peringkat mudalah ayah galaskan harapan.  Sesekali bertemu bagi menautkan kembali ukhuwwah dan kekeluargaan.  Ahli keluarga rakan karib ayah (allahyarham Pak Imam Fahmi) yang diundang turut hadir.  Cuma isterinya yang agak uzur tidak dapat datang.

Seusai majlis, kulihat ayah kelihatan puas.  Tiada tanda-tanda keletihan di raut wajahnya.  Cuma ayah sedikit berpantang terhadap makanan.  Agak gusar makan daging, lantas ayah memilih ayam sebagai gantinya.  Tidak seperti tika ayah masih kuat dulu, dalca sememangnya menjadi kegemarannya.  Paling digemarinya dan masih segar diingatannya dalca yang dimasak oleh Pak Ali (disebut "Dalca Pak Ali").  Tiada seorang pun mewarisi kepandaian Pak Ali memasak dalca itu.  Walaupun ada yang cuba belajar, namun tidak dapat menandingi keistimewaan dalca tersebut.  Apakah rahsia Pak Ali...... dan kini hanya tinggal nama sahaja.

Lebihan pencuci mulut yang sempat kubuat untuk tetamu, kutinggalkan di dalam peti sejuk.  Kutahu ayah menggemarinya.  Sekiranya sesuatu makanan itu ayah suka, ia akan diulang makan banyak kali.  Sejak dulu kuperhatikan tingkah ayah begini. Ayah sukakan yang manis-manis.  Syukur sangat-sangat kerana ayah tidak menghidap kencing manis. Cuma yang sedikit membimbangkan adalah tekanan darahnya kekadang agak tinggi sedikit.  Kesibukan menguruskan jualan suratkhabar sedikit menggugat kesihatannya.  Ayah kurang mendapat rehat yang secukupnya.  

Jika kelapangan dan punya waktu bersemuka dengan kami semua, ayah suka bercerita tentang kisah zaman dulu-dulunya kepada cucu-cucunya.  Kisah zaman Jepun, cerita zaman kanak-kanaknya, semuanya dalam nada senda gurau.  Penuh hilai tawa yang mencuit hati.  Seusai solat berjemaah, biasanya ayah memberi sedikit tazkirah buat kami semua.  Dan ada kalanya ayah memberi peluang kepada Bang Long dan Bang Ngah menjadi imam mengepalai solat jemaah kami kerana ayah mengakui kekadang lupa potongan surah yang dibacanya. Berdiri tegakpun kelihatan sudah kian bongkok.   Namun Fatihah ayah masih utuh seperti dulu.

Uban kian memutih, pergerakan pun kian lambat, dan daya ingatannya kian lemah.  Pernah ayah tersilap mengira wang, namun bonda segera membetulkannya.  Ayah ada menyuarakan hasrat untuk menunaikan umrah, tapi bonda menghalang disebabkan kerisauan bonda terhadap perubahan yang begitu ketara terjadi pada ayah beberapa bulan yang lalu berikutan secara tiba-tiba tekanan darah ayah naik ketara sehingga menyebabkan ayah ditahan di wad.  Begitulah situasi ayah kini.......  

Dari kejauhan ini, kupanjatkan doa dan harapan agar ayah sentiasa dalam kasih dan rahmat Ilahi.  Pada bondapun harapanku begitu juga.  Moga-moga dipermudahkan segala urusan....

Salam kasih dari kami seisi keluarga, peliharalah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka memeliharaku sewaktu aku kecil lagi, kasihilah mereka sebagaimana mereka kasih akan daku.  Amin Ya Allah.





 

Tiada ulasan: