UJIAN merupakan satu pendekatan Allah untuk mendidik manusia. Musibah merupakan ujian yang ditimpakan ke atas manusia. Belajarlah mencari hikmah di sebalik musibah itu.
Musibah merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh manusia. Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang kita tidak sukai seperti kehilangan, kematian, kesakitan, ketakutan, kemiskinan, kesedihan dan bencana. Namun mengapa Allah mendatangkan kepada kita semua itu?
Begitulah cara Allah hendak menilai diri kita. "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, tapi Allah melihat hati dan amalan kamu,"(Hadis Riwayat Muslim).
"Adakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja dengan mengaku kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?" (Surah Al-Ankabut).
Musibah atau ujian menimpa semua manusia, tidak kira sama ada mereka orang baik atau sebaliknya. Apa yang membezakannya ialah bagaimana keadaan setiap insan itu menerima musibah itu dan bagaimana mereka menghadapi dan menanganinya. Orang yang rapat atau akrab dengan Allah amat berbeza penerimaannya dengan mereka yang jauh dari Allah. Bagaimana musibah atau ujian itu dihadapi menunjukkan darjatnya di sisi Allah.
Ramai yang bersimpati dengan mereka yang ditimpa ujian atau musibah akan menyuruh atau menasihatinya bersabar. Bersabar dengan dugaan Allah. Redho dengan ujian yang menimpa. Tapi kekadang bila perkara tersebut menimpa pula ke atasnya, mampukah dirinya sabar atau redho.
Menerusi ujian dan musibah yang menimpa itulah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan setiap individu itu. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud bahawa ujian yang berlaku terhadap diri manusia itu sama ada untuk memuliakannya atau menghinakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan