Ahad, 16 Disember 2012
CATATAN BUAT AFIQAH......
"Assalamualaikum cikgu," satu suara menyelinap masuk ke telingaku. Suara siapakah itu? Aku segera menoleh sambil menjawab salam tersebut. Huluran tanganku disambutnya lalu dicium. Aku memeluknya erat. Ketika itu air matanya setitis dua menitis menuruni kelopak matanya.
"Ha.......macam mana result, Afiqah?" soalku pada bekas anak murid yang pernah kudidik dan bimbing di kelas pemulihan semasa dia berada di tahun 2, 3 dan 4 dulu.
Dia tersipu malu sambil menghulurkan slip keputusan itu kepadaku. Kutatap dengan teliti, mataku tertumpu pada keputusan Bahasa Melayu dan Matematik, kerana dua subjek itulah yang pernah kuajar dulu. "Eh, baguslah result kamu, Afiqah! Macam mana Penulisan boleh dapat A ni?" tanyaku spontan. Dia masih melirik senyum. Tiada kata-kata keluar dari ulas bibirnya.
"Alhamdulillah.......tahniah Afiqah, emm..........subjek lain pun ok jugak. Alhamdulillah lulus semua!" Hatiku berbunga gembira. Kulihat slip itu....... Pemahaman B, Penulisan A, B.Inggeris C, Matematik C dan Sains B. Syukur sangat-sangat pada Allah yang telah menganugerahkan kejayaan itu kepadanya.
Aku masih ingat tatkala aku menerima murid bernama Norafiqah yang sukar untuk mengeja walaupun suku kata mudah KV, malah amat payah untuk mencantum KV + KV suatu ketika dulu. Lambat dalam mengeja dan membaca. Untuk mengira pun sukar. Aku terpaksa memperlahankan rentak pengajaranku disebabkan kesukaran dia menguasai apa yang diajar.
Namun berkat kesungguhan dan kerajinannya, Allah mempermudahkan segala urusan. Walaupun lambat, meskipun agak ketinggalan berbanding rakan sekelas yang lain, dia tetap berusaha dan terus berusaha. Kepayahan yang dilaluinya dulu kini Allah bayar cash!
Sesungguhnya padaMU kupanjatkan kesyukuran. Kejayaan yang dicapai dari setiap kekecewaan dan penderitaan itu mengandungi nikmat yang tinggi nilainya. Mudah-mudahan Afiqah dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan usaha bagi mencapai cita-cita. Moga kejayaan yang cemerlang menantimu di hujung sana.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan